Padah terima rasuah RM5,000












AYER KEROH - Dua kakitangan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian negeri, termasuk seorang bekas penolong pengarah, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, kerana menerima rasuah RM5,000 di dua lokasi berbeza, tahun lalu.
Danial Rahmad, 46, dan Lilyhanah Abdul Salam, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar terhadap dua pertuduhan, termasuk satu yang dituduh secara berasingan.
Berdasarkan pertuduhan, Danial sebagai Penolong Pegawai Tanah di Unit Pengambilan Tanah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian negeri, telah cuba memperoleh rasuah daripada Tee Seng Hoo melalui Battua Abd Rahman sebanyak RM5,000 sebagai dorongan membantu mengelakkan tanah milik Seng Hoo di Lot 2288 Mukim Sungai Udang Melaka diambil semula, daripada 16 hingga 31 Julai 20011.
Lilyhanah sebagai penolong pengarah di unit sama dituduh menerima suapan RM5,000 melalui Toh Meng Leng bagi urusan yang sama di hadapan Maybank Cawangan Cheng, Taman Cheng Baru, kira-kira jam 10.35 malam pada 8 Ogos 2011.
Kedua-duanya turut dituduh secara bersama-sama bersetuju menerima suapan RM5,000 daripada Seng Hoo melalui Meng Leng sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal iaitu membantu mengelak tanah milik Seng Hoo di Lot 2288 Mukim Sungai Udang diambil semula.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut nilai mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammed Heikal Ismail meminta mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, Danial yang diwakili peguam bela, Gan Seong Kim dan Lilyhana yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan.
Selepas mendengar rayuan, Ahmad Sazali membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 seorang dan menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.sinarharian.