Ahad, 15 April 2012

Amerika Syarikat mohon maaf kepada Shah Rukh Khan


WASHINGTON 14 April - Amerika Syarikat (AS) memohon maaf dan menafikan dakwaan perkauman selepas bintang Bollywood, Shah Rukh Khan (gambar) ditahan oleh pihak berkuasa imigresen AS setibanya beliau di New York dengan menaiki jet peribadi.
India mengemukakan bantahan diplomatik selepas Shah Rukh berkata, beliau ditahan selama 90 minit Khamis lalu setelah mendarat di Lapangan Terbang White Plains, New York dalam perjalanan untuk menyampaikan ucapan di Universiti Yale.
"Kami amat menghormati Encik Khan dan tugasnya sebagai artis dan juga sebagai tokoh yang memperjuangkan isu-isu kemanusiaan," ujar jurucakap Jabatan Negara AS, Mark Toner kepada media semalam, sambil mengulangi kenyataan memohon maaf oleh Kedutaan AS di New Delhi.
Tambah Toner, pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan dan ketidakselesaan yang dialami oleh Shah Rukh akibat kejadian tersebut.
Bagaimanapun Toner menafikan bintang filem itu ditahan kerana nama Islamnya.
"Berpuluh-puluh ribu orang Islam datang ke Amerika Syarikat setiap hari dan mereka tidak pernah ditahan,'' ujarnya.
Katanya lagi, dalam kejadian tersebut, pelakon berusia 46 tahun itu tidak dibenarkan meninggalkan pesawatnya buat sementara waktu dan bukannya diletakkan dalam tahanan.
Sementara itu, Shah Rukh berkata, sebelum ini beliau pernah ditahan selama dua jam pada tahun 2009 di Lapangan Terbang Newark di luar New York.
Beliau kemudian membintangi filem 'My name is Khan' yang mengisahkan perjuangan seorang lelaki India Muslim dalam menghadapi sentimen perkauman di AS.
Pelakon yang juga dikenali sebagai SRK itu menganggap penahanan di Lapangan Terbang sebagai perkara biasa. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan