Jumaat, 27 April 2012

Lelaki intai jiran mandi

AMPANG: Seorang lelaki miang sanggup menceroboh masuk rumah jiran wanita bujangnya di Pandan Indah, di sini semata-mata untuk mengintai jiran wanita terbabit mandi, kelmarin.
Bagaimanapun, sumber berkata, tindakan lelaki terbabit disedari wanita berusia 28 tahun itu yang berasa tidak sedap hati sebaik melihat bayangan hitam dari pintu bilik air rumahnya.

“Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa dipercayai masuk ke bilik air untuk mandi sebelum ke tempat kerjanya. “Namun, ketika mandi, mangsa berasa tidak sedap hati selepas melihat ada satu bayangan hitam di luar pintu bilik airnya. Mangsa kemudian membuka pintu dan terkejut melihat seorang lelaki sedang mencangkung di depan bilik airnya,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit yang juga jiran mangsa kemudian bertindak melarikan diri.

Katanya, mangsa yang bimbang keselamatannya membuat laporan berhubung kejadian berkenaan di Balai Polis Pandan Indah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan