Khamis, 19 April 2012

Dua penjenayah mati ditembak


JALALUDDIN Abdul Rahman menunjukkan gambar dua suspek penjenayah yang disyaki terlibat dengan Kumpulan Buyong maut ditembak di sebuah hotel bajet di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, Kelantan, semalam.


KOTA BHARU 18 April - Dua anggota Kumpulan Buyong yang paling dikehendaki di Kelantan mati ditembak sepasukan anggota polis selepas berbalas tembakan di sebuah hotel bajet di Jalan Sri Cemerlang di sini malam tadi.
Dalam insiden kira-kira pukul 8 malam itu, penjenayah terbabit, Elezulhelmie Ilias, 24, dan Ahmad Izzudin Che Deraman, 24, maut di tempat kejadian selepas terkena beberapa das tembakan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, berdasarkan maklumat awam, sepasukan anggotanya segera menyerbu hotel tersebut untuk menahan suspek.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua suspek bertindak terjun keluar dari bilik hotel tersebut lalu melepaskan tembakan ke arah polis.
"Kami cuba untuk menahan suspek tetapi seorang daripadanya telah melepaskan tembakan menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan balas untuk mempertahankan diri.
"Kedua-dua suspek mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Menurut Jalaluddin, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui sepucuk pistol semi automatik, sepucuk pistol palsu jenis Revolver, dua bilah parang, empat keping kad bank, lima keping lesen memandu, satu kad pengenalan dan dua cukai jalan.
Katanya, polis turut menemui sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang di Ajil, Hulu Terengganu pada 27 Mac lalu bersama satu kad pengenalan pemilik asal kereta tersebut.
"Siasatan mendapati kedua-dua penjenayah itu merupakan anggota Kumpulan Buyong yang sangat dikehendaki polis kerana aktif melakukan jenayah samun bersenjata termasuk cubaan membunuh di negeri ini.
"Kedua-dua suspek ini juga dipercayai terlibat dengan lapan kes jenayah yang berlaku sepanjang tahun ini melibatkan tiga kes di Kota Bharu, tiga di Bachok dan dua lagi kes di Pasir Mas," ujarnya.
Jalaluddin memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan laporan kematian mengejut.
Beliau turut meminta orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu menangani kejadian jenayah dengan menghubungi balai polis berdekatan atau Bilik Gerakan IPK Kontinjen Kelantan di talian 09-7450999.utusanmalaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan