Ahad, 15 April 2012

3 Penjenayah ditembak mati.

KUALA LUMPUR 14 April - Tiga penjenayah yang dikehendaki kerana dipercayai menyamun sebuah kedai emas di Seksyen 18 Shah Alam pada 6 April lalu mati ditembak selepas kenderaan mereka dikepung polis dalam kejadian berbalas tembakan di Bulatan Cheras, di sini hari ini.
Dalam insiden pukul 11.30 pagi itu, dua daripada suspek mati di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas cedera parah terkena tembakan.


Dua penjenayah berusia 24 tahun dan seorang lagi 40 tahun itu diburu selepas melarikan barang kemas berjumlah RM600,000 dalam kejadian samun berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, bertindak atas maklumat, ketiga-tiga lelaki warga tempatan yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV), Proton Exora itu berjaya dikesan di lokasi kejadian.
 

Menurutnya, menyedari mereka diekori polis, kenderaan suspek bertindak melarikan diri dan merempuh dua buah kereta orang awam di Bulatan Cheras.
"Kenderaan suspek kemudian berjaya dikepung dan salah seorang daripada penjenayah yang berada di sebelah pemandu telah melepaskan tembakan dengan menggunakan sepucuk pistol.
"Polis kemudian terpaksa membalas tembakan kerana bimbang keselamatan orang awam yang berada berdekatan," katanya di sini hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut polis menemui sepucuk pistol, sebilah parang dan dadah jenis syabu di dalam Proton Exora itu yang dilaporkan dicuri di Kajang baru-baru ini.
Chin Wah memberitahu, siasatan mendapati seorang daripada suspek yang berusia 24 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan samun.
Sehubungan itu, beliau turut meminta pemilik dua buah kereta yang dirempuh penjenayah supaya tampil membuat laporan polis.utusanmalaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan