Selasa, 3 April 2012

Maradona Malaysia sah bercerai talak satu.

SHAH ALAM 2 April – Seminggu selepas menarik balik permohonan perintah kembali taat, jutawan bola sepak negara, Safee Sali hari ini bercerai secara baik dengan isterinya, Sabarina Yusof di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Safee melafazkan talak satu terhadap Sabarina di hadapan Hakim Syarie, Fouzi Mokhtar dalam satu prosiding tertutup yang hanya dihadiri peguam dan ahli keluarga terdekat kedua-dua pihak.
Safee yang memakai kot dan seluar hitam hadir di mahkamah ditemani peguam syarie, Ahmad Nazib Johari manakala Sabarina bersama peguam syarie, Ezura Nashuha Abdul Hadi dan Junaidah Bakar tiba pada pukul 3.50 petang.




Safee selaku plaintif dilihat segera meninggalkan mahkamah dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bersama Ahmad Nazib dan beberapa yang lain sebaik sahaja prosiding selama hampir sejam itu selesai.
Sementara itu, Ezura Nashuha semasa ditemui di luar mahkamah memaklumkan pasangan itu bercerai secara baik atas persetujuan bersama dengan hak penjagaan kedua-dua anak mereka diberi kepada Sabarina.
Jelas beliau, semua perkara lain seperti nafkah idah dan nafkah anak-anak turut diselesaikan secara muafakat oleh kedua-dua pihak tanpa sebarang pertikaian.
‘‘Safee sudah lafazkan cerai talak satu dalam mahkamah tadi. Tiada sebarang pertikaian dan semua sudah diselesaikan secara baik dan muafakat.
‘‘Harap tidak ada sebarang berita yang kurang menyenangkan selepas ini sebab kedua-dua pihak sudah pun selesaikan secara baik,’’ katanya.
Sabarina pula berkata, beliau dan bekas suami akan terus mengekalkan hubungan baik serta berusaha memberikan yang terbaik demi kedua-dua anak mereka walaupun telah sah bercerai.
Beliau yang akan terus pulang ke Kuching, Sarawak pada malam ini juga berharap agar tiada sebarang berita atau spekulasi yang tidak menyenangkan tentang perkahwinan mereka timbul selepas ini.
‘‘Kami ada dua anak dan perasaan mereka perlu dijaga. Semua tuntutan diselesaikan secara baik di dalam mahkamah. Saya dan Safee juga akan buat yang terbaik untuk anak-anak.
‘‘Semua sudah selesai. Saya harap selepas ini tidak ada sebarang spekulasi. Sebelum ini pun, saya tidak pernah beri sebarang kenyataan tentang rumah tangga kami,’’ katanya.utusanmalaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan