Ahad, 15 April 2012

Ejen rahsia Obama langgan pelacur


CARTAGENA 14 April - Sekurang-kurangnya 12 ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) yang dihantar ke Colombia untuk membantu melindungi Presiden Barack Obama pada sidang kemuncak serantau di sini dihantar pulang kerana didakwa terlibat dengan salah laku seksual.
Ejen khas Perkhidmatan Rahsia, Edwin Donovan dalam satu kenyataan semalam berkata, beberapa dakwaan salah laku dibuat terhadap kakitangan Perkhidmatan Rahsia di Cartagena sebelum ketibaan Presiden.
"Disebabkan dakwaan itu, kakitangan terlibat dilucutkan tugas mereka, dihantar balik ke tempat asal mereka bertugas dan digantikan oleh kakitangan Perkhidmatan Rahsia yang lain," katanya.
Beliau tidak memberikan butir lanjut mengenai dakwaan yang dibangkitkan terhadap kakitangan tersebut, yang sudah pun berada di Cartagena sebelum ketibaan Obama di sini malam tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Benua Amerika yang bermula hari ini.
Bagaimanapun sekurang- kurangnya seorang ejen itu didapati melanggan pelacur di bandar peranginan Colombia ini, kata Presiden Persatuan Pegawai Penguatkuasaan Undang-Undang Persekutuan, Jon Adler, menurut laporan akhbar Washington Post.
Berita mengenai skandal itu disiarkan hampir serentak dengan letupan empat bom buatan sendiri, dua di Cartagena dan dua lagi berdekatan Kedutaan AS di ibu negara Colombia, Bogota lewat semalam, tanpa menyebabkan kemalangan jiwa atau kerosakan, kata polis.
Donovan bagaimanapun berkata, perubahan dalam kakitangan Perkhidmatan Rahsia itu tidak akan menjejaskan pelan keselamatan menyeluruh yang telah pun disediakan sebelum lawatan Presiden.
"Perkhidmatan Rahsia memandang serius segala dakwaan salah laku dan seluruh perkara ini telah diserahkan kepada Jabatan Tanggungjawab Profesional yang mengendalikan hal- ehwal dalaman agensi ini," katanya, tanpa menyatakan bilangan ejen yang dihantar pulang.
Namun seorang pegawai AS yang enggan dikenali berkata, seramai 12 ejen terlibat dengan skandal itu. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan