Warga Bangladesh cedera parah ditetak
Mangsa mendalami pendarahan teruk terbaring di lantai kedai makan di jalan Meru
 
 
KLANG - “Tolong bantu saya, saya sakit,” rayu seorang lelaki warga Bangladesh yang berlumuran darah ketika mendekati orang awam yang sedang minum di sebuah kedai makan di Jalan Meru, di sini awal pagi kelmarin.

Mangsa yang berusia 30-an kemudiannya jatuh terbaring di lantai dengan darah membasahi hampir keseluruhan baju dipakainya dengan disaksikan beberapa pelanggan yang berada di situ.

Seorang pelanggan kedai tersebut yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 2.30 pagi.

Katanya, dia dan pelanggan lain sedang leka minum di kedai yang beroperasi 24 jam terbabit.

“Secara tiba-tiba muncul lelaki itu sambil memegang lengan kanannya dan meminta tolong.

“Dia memaklumkan ada orang cuba mengejarnya dan dalam keadaan muka pucat dan baju dipenuhi darah, dia kemudiannya tumbang ke lantai serta kelihatan seperti nazak,” katanya.

Menurutnya, orang awam yang berada berhampiran cuba menyelamatkan mangsa serta pada masa sama terus menghubungi ambulans.

“Tidak lama kemudian ambulans dan polis tiba depan kedai serta membawa mangsa ke hospital untuk dirawat.

“Berdasarkan maklumat orang awam, mangsa dipercayai ditetak dengan senjata tajam pada lengan kanan berdekatan kediaman yang disewanya bersama rakan.

“Dia kemudiannya berlari menghala ke kedai ini sejauh beberapa meter untuk menyelamatkan diri sebelum dibantu orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut saksi itu lagi, mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan keadaannya dilaporkan stabil.

Dakwanya, sehingga kini belum diketahui sama ada mangsa sudah membuat laporan polis atau sebaliknya.sinar.