Mangsa dipukul kayu, parang
Imran sempat merakam gambar adiknya ketika dibawa menaiki ambulans ke Hospital Pasir Mas,
selepas dipukul sekumpulan lelaki di Pangkal Kala, Selasa lalu.
 
 
PASIR MAS – Seorang pelajar tingkatan lima yang mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul oleh sekumpulan lelaki di Pangkal Kala, Selasa lalu mahu mengambil tindakan undang-undang.

Abang mangsa, Tengku Imran terkilan apabila lebih 10 lelaki berusia di antara 16 hingga 40-an serta lengkap bersenjatakan kayu dan parang menyerang adiknya, Tengku Muhammad Hakam Tengku Zainal Abidin tanpa belas kasihan.

Menurutnya, Hakam dipercayai diumpan oleh salah seorang lelaki dalam kumpulan berkenaan untuk hadir bagi membincangkan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.

Pelik dengan tindakan itu katanya, Hakam keluar bersama rakannya untuk bertemu namun dipukul di kepala hingga berdarah.

“Mereka tuduh Hakam mengganggu adiknya, sedangkan tuduhan itu palsu.

“Kumpulan tersebut mengambil tindakan melulu dengan menahan dan memukulnya dengan objek tumpul hingga tidak sedarkan diri,” katanya, semalam.

Imran berkata, kejadian ini menyebabkan adiknya trauma untuk keluar rumah, apatah lagi ke sekolah.

Menurutnya, dia akan membawa kes ini ke mahkamah untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya di samping mendidik masyarakat agar mengambil jalan mudah tanpa usul periksa.

“Kejadian ini juga menyebabkan adik saya takut untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedangkan hanya akan bermula esok,” katanya, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persahabatan Malaysia Kelantan, Paduka Ayahanda Mohammad Abd Manaf terkejut apabila mengetahui ahlinya dipukul dan tidak sedarkan diri di Hospital Pasir Mas.

“Perkara ini seharusnya tidak berlaku pada masyarakat kita malah berlaku di hadapan orang ramai. Di mana tanggungjawab masyarakat dalam menangani perkara ini kerana masih mengamalkan sikap tidak ambil peduli?” katanya.Sinarharian.