Jumaat, 9 November 2012

Chef Riz, Ana Dahlia Bercerai .

Seperti sudah dapat mengagak ini kesudahan pergolakan yang berlaku dalam rumah tangga mereka berdua sejak kedua-duanya mengakui yang mereka mempunyai masalah. Namun ketika bertemu pelakon Ana Dahlia dua hari lalu sewaktu di satu sidang media di Sri Pentas TV3, pelakon itu terus berusaha untuk 'menyembunyikan' perkara sebenar. Enggan bercerita lanjut walaupun dia didesak pihak media. Ana sekadar berkata, satu hari nanti dia akan memberitahu segala-galanya. Ternyata Ana belum bersedia untuk berkongsi dengan umum yang dia sekali lagi mengalami kegagalan rumah tangga.
 
Disaat bahagia
 
 
Namun, dalam laporan Kosmo! hari ini menyebut Chef selebriti, Chef Riz, mengesahkan kebenaran desas-desus yang tersebar luas ketika ini bahawa dia sudah pun bercerai dengan isterinya itu.

“Ya, saya memang sudah bercerai,” kata anak sulung kepada Chef selebriti tersohor, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail.

Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 30, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci perceraian berkenaan.

Baru-baru ini, pasangan tersebut dikatakan telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah di Kajang, Selangor.

Chef Riz mengakui perceraian itu berpunca daripada ketiadaan persefahaman antara mereka sejak melayari bahtera perkahwinan 11 bulan lalu.

Dia juga mengakui perkenalan singkat hanya selama lapan bulan turut menjadi punca keruntuhan rumah tangganya.

Ana Dahlia, 29, yang merupakan pelakon filem Mantra diperkenalkan kepada Chef Riz oleh adiknya sendiri, Serina.

“Saya akui kami kahwin terlalu cepat, hanya selepas lapan bulan berkenalan. Selepas berkahwin tidak sampai setahun, kami berdua nampaknya tidak lagi mempunyai persefahaman dan perceraian adalah jalan terbaik buat kami,” ujarnya.

Selain itu, Chef Riz juga mengakui kesibukan dirinya sebagai Chef dan Ana Dahlia pula dengan karier lakonan menjadi antara punca mereka tidak lagi bersefahaman.

Chef Riz bagaimanapun berkata dia dan Ana bercerai secara baik.

"Saya masih sayangkan Ana, jika ditakdirkan Allah selepas ini kami rujuk semula dalam tempoh tiga bulan idah, saya terima", katanya.

Juri program MasterChef Malaysia itu juga memohon supaya tiada spekulasi negatif dibuat berhubung dengan punca penceraiannya itu.

http://www.malaysiandigest.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan