Rabu, 21 November 2012

3 ditahan culik bayi tiga minggu

sekadar hiasan

SHAH ALAM – Tindakan pantas polis berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki berusia tiga minggu daripada menjadi mangsa culik dua pembantu rumah warga Kemboja selepas dilarikan daripada rumah ibunya di Ukay Bestari, Ampang kelmarin.
Bayi itu ditemui semula dalam tempoh kurang 12 jam selepas kedua-dua wanita berusia 22 dan 24 tahun diberkas bersama seorang lelaki Kemboja berusia 35 tahun dipercayai ejen pembantu rumah di sekitar Jalan Kolam Air Lama, Ampang pada pukul 1 pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian bermula apabila tujuh anak termasuk bayi itu ditinggalkan dengan dua pembantu rumah selepas ibu mereka keluar pada pukul 12 tengah hari kelmarin.
Menurutnya, sebaik pulang ke rumah pada pukul 6.45 petang, ibu mangsa berusia 32 tahun dan merupakan seorang pensyarah mendapati kesemua anaknya berada di rumah kecuali bayi serta dua pembantu rumah.
“Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan kehilangan bayinya pada pukul 8.15 malam sebelum siasatan rapi dijalankan dan pasukan khas ditubuhkan bagi mencari mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Polis Selangor di sini semalam.
Mohd. Adnan memberitahu, polis merampas sejumlah wang tunai dan sebilah pisau daripada ketiga-tiga suspek tersebut yang kurang fasih berbahasa Melayu.kosmo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan