Selasa, 6 November 2012

Tetak anak bekas MP, seorang lelaki ditahan bantu siasatan

Polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Gombak awal pagi tadi yang dipercayai terlibat dalam kes menetak anak bekas anggota parlimen Pasir Puteh Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata suspek yang berumur akhir 20-an itu diberkas di dalam rumah tersebut kira-kira 3 pagi tadi.

Tetak Anak Bekas Ahli Parlimen1 Tetak Anak Bekas Ahli Parlimen: 5 Suspek Diburu
Mangsa cedera ditetak

"Lelaki itu kini ditahan dan disoal siasat bagi membantu pihak kami mengesan kesemua suspek. Pihak kami juga tidak menolak kemungkinan kes ini berkaitan hutang dan dendam," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur hari ini.

Pegawai Turus Gerakan Kuala Lumpur, DSP Jamaludin Hussin yang memangku pangkat Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur menyerahkan pangkat yang dipangkunya kepada Ketua Polis Daerah Brickfields, SAC Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

Dalam kejadian serangan itu, Wan Mohd Faizal, 24, anak kepada Datuk Wan Mohd Najib Wan Mohamad cedera parah selepas ditetak tiga lelaki dengan parang dan dipercayai terdapat dua lagi suspek yang ketika itu sedang menunggu di dalam sebuah kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam berhampiran lokasi kejadian.

Semalam Wan Mohd Najib mendakwa anaknya mungkin diserang kerana rasa tidak puas hati oleh pihak lain akibat kalah dalam permainan snuker.

Beliau berkata sekumpulan lelaki yang menyerang anaknya dipercayai telah diupah oleh anak kepada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang kalah dalam permainan itu.

-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan