Jumaat, 9 November 2012

Pusat jagaan wanita disita

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu dan menyita sebuah rumah yang dijadikan pusat perlindungan wanita dan remaja di Kampung Sungai Mulia, Setapak di sini yang beroperasi tanpa lesen sejak lebih 24 tahun lalu.

sekadar hiasan

Pengarahnya, Noormah Abdul Rauf berkata, dalam serbuan selama tiga jam bermula pada pukul 10 pagi itu, pusat tersebut didapati menempatkan 69 wanita berumur antara 14 dan 30 tahun termasuk seorang bayi berusia lima bulan tanpa mengikut syarat yang ditetapkan Akta Pusat Jagaan 1993.
Pusat yang diberi nama Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja) itu didapati gagal mematuhi piawaian minimum yang ditetapkan di bawah akta tersebut.
“Dengan keluasan rumah tersebut, maksimum penghuni yang dibenarkan hanya seramai 28 orang tetapi penjaga pusat itu meletakkan seramai 69 orang di ruang yang sempit. Mana selesa?
“Sedangkan pihak keluarga juga membayar yuran kepada pusat itu sebanyak RM10,000 setahun untuk seorang bagi menjaga ahli keluarga mereka yang mempunyai masalah sosial atau sedang mengandung,” katanya kepada pemberita selepas serbuan ke pusat itu di sini semalam.
Menurut beliau, antara piawaian yang perlu dipatuhi oleh penjaga pusat tersebut ialah had bilangan penghuni tidak melebihi keluasan ruang lantai yang dibenarkan bagi memastikan keselesaan penghuninya.
Piawaian lain yang perlu dipatuhi ialah nisbah penjaga dengan penghuni perlulah mencukupi, menyediakan modul latihan dan jadual aktiviti harian yang sesuai.
“Hasil siasatan JKM mendapati Kewaja gagal mematuhi piawaian yang telah ditetapkan walaupun telah diberi nasihat dan panduan sejak tahun 2003,” jelas beliau.
Ketika serbuan itu dibuat, pihak berkuasa mendapati 69 penghuni pusat jagaan tersebut terdiri daripada 42 wanita yang sedang mengandung, 19 orang berada dalam pantang selepas baru melahirkan anak manakala tujuh lagi menghadapi pelbagai masalah sosial yang lain.kosmo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan