Ahad, 19 Ogos 2012

'Tak hairan jika Nasharuddin bekas Timbalan Presiden Pas keluar Pas'




Nik Abdul Aziz


KOTA BHARU 15 Ogos - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak hairan jika Nasharudin Mat Isa keluar daripada parti itu setelah bekas Timbalan Presiden Pas tersebut dilihat bersama Datuk Seri Najib Tun Razak di Mekah semalam.
“Pelik apa, kalau (Datuk Mohd.) Asri (Muda) yang berpuluh tahun menjadi Presiden Pas boleh masuk UMNO, jadi Nasharudin juga akan turut berbuat demikian," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Akhbar hari ini memaparkan gambar Nasharuddin menyertai Perdana Menteri dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Arab Saudi.
Nik Abdul Aziz juga berkata, adalah lebih baik bagi Nasharudin meninggalkan Pas daripada menimbulkan masalah kepada parti.
Gesaan Nasharudin yang meminta parti itu menyatakan pendirian tegas berhubung penghinaan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hukum hudud disambut dengan perasaan marah oleh pemimpin Pas.
Malah, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan secara terbuka menganggap gesaan tersebut sebagai penolakan terbuka Nasharudin terhadap keputusan parti dan melabelkan tindakan demikian sebagai pendekatan pincang.
“Semakin kencang topik mengenai kedudukan Nasharudin dengan mengambil kira beberapa langkah beliau yang sangat pincang apabila secara terbuka menolak keputusan parti dengan menyerang dan mempertikai di media lawan.
“Tiada siapa yang gembira dengan perkembangan ini kecuali musuh politik yang mahu melihat pergolakan dalam parti. Pastinya kesempatan ini akan diambil sepenuhnya untuk melemahkan Pas," kata Nasrudin di Facebooknya hari ini.
Semalam, bekas Timbalan Presiden Pas tersebut menggesa parti itu menyatakan pendirian berhubung penolakan konsisten DAP dan Karpal terhadap cita-cita menubuhkan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.
Tegas Nasharuddin lagi, sesuatu perlu dilakukan oleh Pas termasuk menimbang untuk keluar daripada pakatan pembangkang kerana ahli akar umbi resah melihat perkembangan antara parti tersebut dengan DAP.
Dalam pada itu, Nasrudin seolah-olah memberi ingatan kepada Ahli Parlimen Bachok tersebut bahawa Pas tidak kisah jika beliau mahu berpaling dan menyokong parti selain daripada Pas dalam isu negara Islam serta hudud.
“Nasharudin sewajarnya insaf bahawa beliau yang memerlukan perjuangan Islam ini, bukan sebaliknya. Perjuangan Islam tidak pernah rugi hanya kerana kita (pemimpin) meninggalkannya," katanya.utusanmalaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan