Ahad, 5 Ogos 2012

Mayat dibakar di Tanah Perkuburan

SHAH ALAM 3 Ogos - Mayat seorang lelaki yang dipercayai mangsa pembunuhan ditemui hampir hangus selepas dibakar bersama timbunan ranting dan kayu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawa di sini hari ini.
sekadar hiasan

Mayat mangsa yang dipercayai berusia awal 20-an dan masih belum diketahui identitinya ditemui oleh sekumpulan penduduk yang datang untuk membersihkan kubur pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supritendan Mazlan Othman berkata, pihaknya pergi ke tempat kejadian selepas menerima maklumat kira-kira pukul 11.10 pagi ini.
Beliau berkata, siasatan awal percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibakar di tanah perkuburan tersebut.
"Semasa ditemui mayat mangsa yang dalam keadaan terlentang dan memakai jeans biru hampir hangus di bawah timbunan ranting serta kayu yang terbakar.
"Pemeriksaan pada bahagian belakang badan mangsa yang tidak terkena api menemui pelbagai gambar tatu," katanya ketika dihubungi pemberita di sini petang ini.
Menurut Mazlan, identiti mangsa sedang disiasat kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayatnya.
Tambah beliau, pihaknya yang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan menunggu laporan bedah siasat pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi membantu siasatan kes.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan