Rabu, 8 Ogos 2012

Akibat merogol penganggur dijel 28 tahun, 22 sebatan

PUTRAJAYA 7 Ogos - Mahkamah Rayuan hari ini menambah tempoh hukuman penjara dan sebatan terhadap seorang penganggur yang merogol dan merompak seorang wanita Thai pada Hari Kemerdekaan, empat tahun lepas.
sekadar hiasan

Panel tiga hakim yang bersidang dengan dipengerusikan Datuk Abdul Malik Ishak, menjatuhkan hukuman penjara 28 tahun dan sebatan 22 kali terhadap R. Shanmuganathan selepas menolak rayuannya untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara.
Hakim Abdul Malik berkata, hukuman berat perlu dikenakan sebagai amaran kepada perayu (Shanmuganathan) dan bakal pesalah lain.
Beliau berkata, ini kerana kepentingan awam menjadi perkara paling utama.
Shanmuganathan, kini berusia 30 tahun, didakwa merogol wanita itu di sebuah rumah kosong di Bandar Hilir, Melaka pada 3.30 pagi, 31 Ogos 2008 dan menghadapi pertuduhan kedua merompak wanita itu menggunakan senjata api di tempat dan masa sama.
Pada 26 Julai 2010, Mahkamah Sesyen mendapati Shanmuganathan bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan sebatan lima kali kerana merogol dan penjara empat tahun serta sebatan lima kali kerana merompak.
Pada 14 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi menambah hukuman itu kepada penjara 18 tahun dan sebatan 12 kali tetapi mengekalkan hukuman kerana merompak selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Hakim Abdul Malik yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun tetapi mengekalkan sebatan 12 kali bagi kesalahan merogol. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan