Rabu, 8 Ogos 2012

Perkembangan kes rakyat Malaysia diculik di Nigeria dipantau

sekadar hiasan
PUTRAJAYA: Malaysia sedang mengumpul maklumat berhubung kes penculikan seorang rakyat Malaysia oleh sekumpulan bersenjata api di Nigeria pada Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, setakat ini belum ada perkembangan terkini berhubung kes itu yang menyaksikan warga Malaysia dan tiga lagi warga asing diculik, susulan serangan maut ke atas kapal milik sebuah syarikat perkhidmatan minyak di Teluk Guinea.
"Kedutaan Malaysia di Abuja sedang memantau rapi perkembangan kes ini," katanya kepada pemberita selepas upacara menaikkan bendera sempena Hari Asean ke-45, di sini hari ini.

Agensi berita asing melaporkan sekumpulan lelaki bersenjata api menyerang dua kapal milik Sea Trucks Group yang menyediakan perkhidmatan kapal sokongan untuk syarikat minyak dan gas di Nigeria, kira-kira 35 batu nautika dari Delta Nigeria, kawasan pantai yang kaya minyak.

Kawasan delta itu yang sebelum ini sinonim dengan serangan ganas penjenayah serta insiden culik dilihat semakin tenang susulan program pengampunan oleh kerajaan beberapa tahun tahun lepas.

Ketika serangan awal pagi Sabtu itu, dua anggota tentera laut yang mengawal kapal berkenaan terbunuh, dua lagi cedera manakala dua selamat.

Selain rakyat Malaysia, seorang masing-masing rakyat Indonesia, Iran dan Thailand diculik kumpulan itu.
Jurucakap Sea Trucks Group, Corrie van Kessel dilapor berkata syarikat itu menumpukan usaha untuk membebaskan tebusan.

Biro Maritim Antarabangsa dalam laporannya bulan lepas menyatakan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 32 insiden serangan lanun di Teluk Guinea direkodkan berbanding 25 kes tahun lepas. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan