Ahad, 19 Ogos 2012

'Saya sedia disaman'....Datuk Nasharuddin Mat Isa

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sedia bertemu Pengerusi DAP, Karpal Singh di mahkamah.
Ahli Parlimen Bachok itu menyifatkan Karpal yang menolak dan menentang keras pendirian Pas yang mahu melaksanakan hukum hudud itu sebagai telah menolak sebahagian daripada Islam yang sekali gus menolak Islam.
“Justeru saya kekal dengan pendirian saya bahawa Karpal adalah anti Islam dan bersedia untuk bertemu beliau di mahkamah.
“Menolak sebahagian daripada Islam bermakna menolak Islam," katanya kepada Mingguan Malaysia menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), di sini hari ini.
Karpal semalam berkata, beliau dalam perkiraan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Nasharudin berikutan ulasan bekas Timbalan Presiden Pas itu bahawa Karpal anti-Islam kerana menentang hukum hudud.
Nasharudin berkata, beliau telah dididik oleh Pas bahawa ajaran Islam itu adalah syumul dengan merangkumi setiap aspek kehidupan iaitu akidah, perundangan dan akhlak.
Sehubungan itu, beliau yakin bahawa penolakan Karpal terhadap hukum hudud turut menjelaskan bahawa Pengerusi DAP itu juga menolak Islam.
Sementara itu, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) bersedia menawarkan khidmat guaman kepada Nasharudin sekiranya Karpal mahu menyaman bekas Timbalan Presiden Pas itu.
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihaknya setakat ini masih belum mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara tersebut namun tidak menolak kemungkinan ada ahli-ahlinya yang ingin menawarkan khidmat guaman kepada Nasharudin.
“Persatuan memang selalu mengadakan perbincangan bila timbulnya isu-isu melibatkan Islam.
“Cuma buat masa ini kita belum adakan mesyuarat lagi mungkin lepas raya nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Zainul Rijal, Karpal berhak untuk menyaman Nasharudin kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang bebas dan demokrasi.
“Dari sudut undang-undang, pihak pembelaan (Nasharudin) hanya perlu bersedia dengan mengumpul bukti berhubung kenyataan dan tindakan Karpal sebelum ini untuk berlindung di bawah fair comment (komentar yang adil) iaitu kenyataan-kenyataan yang dibenarkan dibuat mengikut undang-undang," katanya.utusanmalaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan