Ahad, 19 Ogos 2012

Amah curang dibelakang majikan


SUTIMAH (bukan nama sebenar), 38, sudah nekad untuk bekerja di Malaysia demi mengubah nasib keluarganya. Lagi pun wanita dari Jember, Jawa Timur itu begitu cemburu dengan jiran-jirannya yang sudah bekerja di sana sehingga mampu membina rumah besar dan anak-anak dapat bersekolah tanpa masalah kewangan.



Walaupun sudah mendapat izin suami, Sutimah tidak henti-henti menangis kerana memikirkan si suami, Mulyono (bukan nama sebenar) dan dua anaknya yang masih kecil yang terpaksa ditinggalkannya. Namun semua itu dikorbankan demi masa depan mereka sekeluarga.



Sebelum berangkat, Sutimah memeluk erat dan mencium tangan Mulyono memohon restu dan kemaafan. Air matanya bercucuran. Mereka yang melihat begitu hibanya Sutimah mahu meninggalkan keluarga pasti akan turut terasa sebak. Akhirnya Sutimah terbang ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan, air matanya tidak henti-henti menitis sayu.



Tiba di LCCT Sepang, Sutimah dijemput majikan yang merupakan seorang pegawai kanan di sebuah syarikat milik kerajaan bersama isteri dan dua anaknya. Bagaimanapun, Sutimah bukan ditugaskan menjaga anak-anak majikan, sebaliknya dua ibu bapa majikan beliau yang sudah lanjut usia tetapi masih sihat.



Di Kuala Lumpur, senarionya sudah berubah. Seminggu pertama bekerja Sutimah sudah mengeluh kepenatan kerana rumah majikan katanya begitu besar. Tidak seperti rakannya yang bekerja di sebuah rumah yang sederhana besar. Bagaimana pun, Sutimah tetap bertahan selepas diberikan galakan rakan sekampungnya itu.



Tidak sampai dua bulan, Sutimah dilapor menghilangkan diri. Puas majikannya mencari tetapi buntu sehingga terpaksa laporan polis dibuat. Selang beberapa hari, dia kembali semula di rumah majikan. Mujur majikannya seorang yang baik hati, maka tindakan Sutimah dimaafkan asalkan dia masih mahu terus bekerja di sana.



Bagaimanapun, khabar terbaru menyatakan Sutimah sekali lagi menghilang. Kali ini dia tidak lagi kembali ke rumah majikannya. Sekali lagi laporan polis terpaksa dibuat. Rakan sekampungnya di Jember memaklumkan bahawa ada menerima SMS daripada Sutimah sebelum ini yang menceritakan bahawa dia sudah mempunyai kekasih di Kuala Lumpur.



Rupa-rupanya Sutimah sudah melarikan diri kerana mengikut teman lelakinya dipercayai seorang warga Bangladesh. Luluh hati suaminya, Mulyono mendengar khabar tentang tingkah Sutimah di Kuala Lumpur. Namun apakan daya, dia hanya mampu pasrah.



Itulah salah satu kisah benar yang berlaku melibatkan pembantu rumah. Ia sekali gus menyokong kenyataan Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong baru-baru ini yang menyatakan antara punca pembantu rumah rakyat asing bertindak meninggalkan majikan masing-masing adalah disebabkan mengikut teman lelaki.



Michael berkata, daripada sembilan kes yang diterima setakat ini rata-rata majikan menyatakan keyakinan tindakan pembantu rumah mereka berbuat demikian disebabkan faktor itu.



"Kemungkinan sebab utama pembantu rumah warga asing itu melarikan diri adalah kerana mengikut teman lelaki masing-masing dan mereka yang berbuat demikian kebanyakannya baru bekerja selama tiga bulan," katanya.



Lalu menjadi persoalan di kalangan majikan ialah bagaimana seorang amah yang hampir 24 jam sehari berada di rumah boleh berkenalan dan berhubung dengan lelaki di luar sana?



Sudah pasti kita semua lupa. Walaupun mereka berada di rumah, tetapi tidak bermakna mereka tidak ada peluang untuk keluar di halaman rumah.



Melihat kes Sutimah, difahamkan dia bertemu dengan teman lelakinya itu yang bekerja sebagai buruh binaan di hadapan kediaman majikannya. Setiap kali Sutimah keluar di halaman, lelaki itu akan menyapanya.



Kebosanan berada di rumah, rasa rindu kepada suami dan anak-anak di kampung serta kepenatan bekerja dirasakan hilang apabila dapat berbual dengan lelaki berkenaan. Tambahan pula si lelaki pandai mengambil hati termasuk sering membelikan kad nilai tambah prabayar telefonnya.



Melihat kebaikan si lelaki tersebut, Sutimah mula jatuh cinta dan melupakan si suami dan anak-anak yang akhirnya mendorong beliau meninggalkan majikan untuk bersama-sama si kekasih.



Terdapat juga kes pembantu rumah bertemu dengan lelaki yang sering menghantar gas ke rumah majikannya. Sekali dua mungkin mereka tidak mempunyai sebarang perasaan tetapi jika acap kali bertemu dan berbual sudah pasti akan timbul bibit-bibit percintaan. Tambahan pula kalau si lelaki juga dari kalangan pekerja asing yang sudah lama meninggalkan isteri di negara asal.



Seorang kenalan pula melakukan kesilapan besar apabila membelikan sebuah telefon bimbit yang lengkap dengan aplikasi Facebook untuk pembantu rumahnya. Amahnya yang berusia awal 20-an itu meninggalkan kenalan saya itu untuk bersama kekasih yang dikenalinya menerusi laman sosial tersebut.



Apa yang ingin saya katakan, adalah amat sukar untuk membentung para pembantu rumah menjalinkan hubungan dengan para lelaki di luar rumah kita kerana peluang sentiasa ada walaupun kita sudah mengawasinya dengan pelbagai langkah.



Peluang mereka berkenalan dengan teman lelaki itu boleh datang dengan pelbagai cara, yang kadang kala tidak terfikirkan oleh kita.



Sebab itulah sering saya katakan, memilih seorang pembantu rumah bergantung sepenuhnya pada nasib. Kita tidak boleh menilai hati budi mereka hanya dengan melihat sekeping gambar yang diberikan oleh agensi ketika membuat permohonan. Ia semua akan terjawab apabila mereka mula bekerja.



Jika kita mendapat pembantu yang ikhlas untuk mencari wang demi keluarga, mereka akan setia bersama kita dan bekerja dengan penuh dedikasi tetapi jika sebaliknya, kita sebagai majikan akan berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk gejala melarikan diri.Utusanmalaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan