PADANG BESAR: Seorang anggota polis dari Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar parah ditikam bekas suami wanita yang
dinikahinya di Pekan Siam, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa berusia 55 tahun
parah di badan akibat ditikam seorang lelaki selepas majlis akad nikah dia dan
wanita berkenaan selesai dijalankan.
Akibat tikaman itu, mangsa yang baru beberapa bulan
bertugas di Unit Peronda IPD Kangar dikejarkan ke klinik pekan sempadan itu,
namun kemudian dirujuk ke Hospital Hatyai, Thailand apabila keadaannya semakin
parah.
Sumber
polis Thailand berkata, mangsa ditikam di Pekan Siam oleh seorang lelaki,
dipercayai bekas suami wanita yang dinikahinya.
“Pihak berkuasa Thailand di Pekan Padang Besar mengenal
pasti suspek dan gerakan memburu dilakukan.
“Kita belum mengenal pasti sama ada wanita berkenaan
orang tempatan (Thailand) atau luar,” katanya di sini,
semalam.
Sementara itu, Ketua Polis
Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Harun ketika dihubungi mengesahkan
seorang anggotanya ditikam di selatan Thailand.
“Saya mengarahkan Ketua Polis Daerah Padang Besar,
Superintendan Che Man Md Dros dan Timbalan Ketua IPD Kangar, Deputi
Superintendan Ismail Che Isa ke Hatyai bagi mendapat laporan lengkap mengenai
kejadian itu.
Beliau bagaimanapun
tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa memasuki negara jiran itu untuk
berkahwin.
“Saya dimaklumkan, anggota
kami parah ditikam seorang lelaki di Pekan Siam, tetapi maklumat lengkap belum
diperoleh. Anggota berkenaan bertugas di Unit MPV Kangar.
“Anggota berkenaan memasuki pekan sempadan atas urusan
peribadi dan bukan pada waktu bertugas. Kami tidak tahu dia menyeberangi
sempadan atas urusan pernikahan.
Sementara itu, Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Mohd
Aini Atan ketika dihubungi mengesahkan, anggota polis berkenaan kini dirawat di
Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Nagarind, Hatyai dan keadaannya dilaporkan
stabil.
“Mangsa masih tidak sedarkan
diri akibat beberapa tikaman di badan,” katanya.
harianmetro.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan