Ahad, 21 Oktober 2012

Keluarga guru ketakutan rumah disimbah cat merah

 

SITI Noor Sidin Ahmad menunjukkan kesan simbahan cat di rumah mereka di Jalan Kenanga, Tanam Sabariah, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
 
 
KOTA BHARU 20 Okt. - Seorang guru bersama lima anaknya kini diselubungi ketakutan selepas rumah mereka di Jalan Kenanga, Tanam Sabariah dekat sini disimbah cat merah malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu mengakibatkan kereta, lantai serta tiang rumah milik Siti Noor Sidin Ahmad, 40, dikotori cat tersebut.
Siti Noor Sidin memberitahu, kejadian itu disedari selepas anak sulungnya, Amirul Azim Zulkifli, 13, melihat ada sebuah kereta jenis Perodua Kancil berhenti di hadapan pintu pagar rumah mereka.
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kecil. Saya terus membuka pintu dan terkejut apabila terhidu bau cat.
"Saya kemudian memeriksa sekitar kawasan rumah dan mendapati kereta, lantai serta tiang dipenuhi dengan cat merah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, dia terus menghubungi suaminya, seorang pensyarah di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim Perak, Zulkifli Yaacob untuk memaklumkan kejadian tersebut.
Siti Noor memberitahu, selesai menghubungi suaminya itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu kira-kira pukul 11.30 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dan memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan. Utusanmalaysia.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan