Jumaat, 12 Oktober 2012

Digigit lintah, Seniwati Sarimah kongsi pengalaman

SENIWATI Negara, Datuk Sarimah Ahmad masih teringat pengalamannya digigit lintah ketika menjalani penggambaran di Sik, Kedah.
Ia berlaku ketika penggambaran filem Ranjau Sepanjang Jalan selama tiga bulan di situ.
Walaupun sudah hampir 29 tahun berlalu, namun kenangan pahit dan manis masih terpahat dalam ingatan pelakon utama bagi filem hebat itu.

Seniwati Sarimah Ahmad

Sarimah yang masih anggun walaupun sudah mencecah usia 70 tahun itu berkata, dia langsung tidak mengetahui mengenai selok-belok kampung di Kedah kerana berasal dari Pahang.
“Hendak pula apabila ada di antara babak yang perlu kami masuk sawah, saya hanya terbayangkan lintah sahaja pada masa itu dan bayangkan saya begitu geli sehingga masih terasa digigit sehingga kini.
“Disebabkan tidak mahu 'anak-anak’ saya di dalam filem berkenaan geli pada lintah, saya sendiri masuk ke sawah dan mengajak mereka bersama, pada masa itu yang menjadi ‘anak’ saya antaranya Marlia Musa isteri kepada M Nasir sekarang dan Melissa Saila anak kepada seniwati, Mariani.
“Saya memberanikan diri masuk ke dalam bendang kerana jika saya takut sudah pasti mereka juga takut, tetapi pada masa itu lintah terus keliling kaki saya dan saya terpaksa memejamkan mata untuk buang kesemuanya,” katanya.
Beliau ditemui ketika menjadi panel Forum Filem Ranjau Sepanjang Jalan di Perpustakaan Hamzah Sendut Universiti Sains Malaysia (USM).
Forum berkenaan diadakan sempena Persidangan Kebangsaan Shahnon Ahmad Dalam Sastera, Budaya dan Media.
Novel Ranjau Sepanjang Jalan yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Datuk Shahnon Ahmad pada 1966 itu mengandungi hampir semua jenis cabaran, dugaan dan masalah yang lazimnya dihadapi petani yang miskin.
Sama seperti novelnya, filem ini turut mengetengahkan kehidupan sukar petani dengan cara yang cukup kreatif dan menginsafkan.
sekadar hiasan
Penceritaannya juga menggugat emosi sekali gus menyentak akal fikiran tentang kelompok masyarakat yang hidupnya asyik berjuang bukan untuk mencari sesuap nasi.
 
Bukan niat jadi popular
SARIMAH berkata, dek kerana meminati karya sastera pada zaman mudanya, dia sanggup menjadikan karya Shahnon menjadi sebuah filem.
Menurutnya, karya Shahnon Ahmad perlu difilemkan kerana novelnya yang begitu hebat dan terkenal.
Walaupun pada masa berkenaan kebanyakan produser tidak mempunyai duit yang banyak, namun karya yang hebat perlu diketengahkan kepada orang ramai.
“Pada masa dahulu kami buat filem kerana mahu menampung keluarga dan memberi makan kepada anak-anak.
“Jadi semangat perlu cekal dan kuat, bukanlah niat pada masa itu mahu menjadi popular,” katanya.

Tumpuan pada keluarga
Aktres yang popular dengan lakonan Dayang Senandung, Si Tanggang, Ali Baba Bujang Lapuk, Tiga Abdul dan Jefri Zain itu mengakui kini hanya menumpukan perhatian terhadap keluarganya sahaja.
Dia juga mengakui agak sedih ketika mula membicarakan filem Ranjau Sepanjang Jalan yang pernah dibintanginya kerana baginya ranjau dalam kehidupannya juga begitu banyak dilalui.
“Antara cabaran yang paling hebat dilalui saya adalah pada 2010 yang mana saya bertarung dengan penyakit barah.
“Pada masa itu, saya hanya ingat sudah tidak mampu untuk hidup lagi, namun ALLAH Maha Besar kerana saya masih lagi meneruskan kehidupan sehingga ke hari ini, pasti semuanya ada hikmah,” katanya.
Dia menegaskan tidak merancang untuk kembali berlakon, namun akan memilih sekiranya ada skrip yang baik.
“Tapi buat masa ini memang tidak, jika hendak membincangkan tentang dunia seni pada masa kini juga saya tidak boleh beri pandangan kerana saya sudah tidak banyak meluangkan masa pada industri itu.
“Saya lebih fokus kepada kehidupan keluarga saya dan anak-anak serta produk kesihatan saya sahaja,” katanya.sinarharian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan