Jumaat, 17 Februari 2012

Pujian penulis Israel jerat Anwar?

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Kenyataan penulis akhbar terkemuka Israel, The Jerusalem Post, Michael Ordman yang memuji pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melindungi negara tersebut memberi gambaran bahawa kenyataan Ketua Pembangkang dalam The Wall Street Journal (WSJ) itu adalah benar.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) , Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, pujian Ordman menunjukkan bahawa kenyataan Anwar mengenai perlindungan terhadap Israel adalah tepat.
"Ini yang kita bimbang, dalam masa beliau (Anwar) cuba menafikan tetapi pihak Israel memuji kenyataan tersebut dan ini memberi gambaran apa yang disebut oleh Anwar dalam WSJ adalah benar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ordman yang menyambut baik sokongan Anwar terhadap segala usaha yang dapat menjamin keselamatan Israel.
Ordman yang diiktiraf pemikirannya oleh Jerusalem Post kerana prihatin terhadap teknologi bagi menjamin kelangsungan Israel berkata, beliau secara peribadi gembira dengan kenyataan yang dibuat Ketua Pembangkang itu.
Kenyataan Ordman dipetik dalam entri terbarunya bertajuk 'We have lift-off' yang ditulis pada 6 Februari lalu, di laman web Jerusalem Post, http://blogs.jpost.com.
Abdullah Zaik menegaskan, Israel tidak mempunyai hak walau seinci terhadap negara Palestin, justeru sebarang usaha melindungi Israel mesti ditentang.
Dalam pada itu, Pensyarah Kolej Kajian Undang-undang, Kerajaan dan Antarabangsa (COLGIS), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani menegaskan, pujian yang diberi kepada Anwar itu tidak memberi kesan positif terhadap Ketua Pembangkang tersebut.
"Sudah tentu apa juga yang positif mengenai Israel, pasti puak Zionis akan memberi sokongan dan pujian namun rakyat di negara ini akan tertanya-tanya apa akan jadi jika Anwar diberi peluang memerintah dan ini tidak memberi kesan positif kepada beliau," katanya.
Beliau berkata, Anwar sendiri meletakkan dirinya dalam keadaan bahaya kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan pendirian umat Islam di seluruh negara.
Sementara itu, Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid menegaskan pujian yang diberi oleh Ordman kepada Anwar mungkin mempunyai helah tertentu.
"Kita tahu Israel mempunyai pelbagai helah namun rakyat Malaysia khususnya umat Islam boleh berfikir secara rasional perlukah lagi memberi sokongan kepada Anwar yang memberi jaminan terhadap keselamatan Israel," katanya.Utusanmalaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan