Jumaat, 17 Februari 2012

AIC Desak Media Prima Henti `Serang’ Anwar

KUALA LUMPUR – Anwar Ibrahim Club (AIC) mendesak Media Prima Berhad menghentikan `serangan’ berbaur politik yang didakwa mereka dilakukan secara terancang keatas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 


Presidennya, Saifuddin Shafi Muhammad mendakwa, situasi itu umpama satu medan pembunuhan karakter bertujuan menjatuhkan kredibiliti Anwar berhubung pendirian dalam polemik negara Israel dan Palestin.
“Beliau (Anwar) tidak diberikan sebarang peluang untuk muncul di media naungan Media Prima Berhad untuk mempertahankan diri berhubung isu tersebut.
“Perbuatan ini tidak bertanggungjawab terhadap keperluan rakyat menerima maklumat yang adil tanpa perlu berpaksi kehendak mana-mana individu atau kumpulan berkepentingan,” dakwanya.
Beliau membuat dakwaan tersebut dalam satu memorandum yang ditujukan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar hari ini.
AIC mendakwa memorandum tersebut diserahkan kepada wakil Johan di Ibu Pejabat Media Prima Berhad di sini pada pukul 11.20 pagi.
Saifuddin berkata, AIC mencabar Media Prima Berhad melalui rangkaian Buletin Utama TV3 memberi ruang kepada Anwar muncul secara eksklusif dalam masa terdekat.
Menurut beliau, melalui cara tersebut Anwar mempunyai medium untuk menjawab serangan berat sebelah yang dilancarkan terhadapnya hampir setiap hari.
Malah, dakwanya, keberanian Media Prima Berhad itu bakal membuka dimensi baru pemberitaan di Malaysia sekali gus mengekang usaha terlindung membunuh karakter melalui laporan tidak adil dan berat sebelah. – mynewshub.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan