Jumaat, 17 Februari 2012

Kempen menutup aurat.

Kempen Jaga Aurat Sepanjang Hayat dilancar

KUALA LUMPUR, 17 Feb: Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Persatuan Persaudaraan Muslimah Negeri Kedah (Salimah) dan Badan Gabungan NGO Islam Kedah (Wehdah) melancarkan Kempen Setahun Menjaga Aurat Sepanjang Hayat bermula hari ini.

Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, kempen bertema “Menjaga Aurat, Hidup Berkat, Masyarakat Selamat” bertujuan untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat Islam akan kewajipan semua kaum Muslimin sama ada wanita mahupun lelaki agar menjaga aurat mereka dalam berpakaian seperti yang diwajibkan oleh ajaran agama Islam.

“Kempen ini akan menyebarkan maklumat dan kesedaran ke seluruh masyarakat Islam agar menghayati hikmah dan manfaat menjaga aurat dalam membina watak masyarakat Islam yang bermaruah, berakhlak dan berprinsip,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, akibat pelbagai asakkan pengaruh Barat dan budaya asing, umat Islam kini menghadapi kesan keruntuhan identiti dan penghakisan nilai sahsiah Islam yang amat kencang.

Lantaran itu, ujarnya timbul faham yang keliru terhadap kewajipan menjaga pakaian yang menutup aurat dengan sempurna.

Tambahnya, timbul suara dan pandangan serong terhadap pakaian menjaga aurat sehingga dianggap bertentangan dengan hak kebebasan invidu dalam masyarakat.

Katanya, walaupun memakai tudung di kalangan wanita Islam kelihatan sangat meluas dewasa ini namun pakaian tudung dengan segala bentuk dan corak yang difahami oleh masyarakat telah menghilangkan makna menutup aurat seperti yang ditekankan oleh agama Islam.

Beliau berkata, fesyen berpakaian ketat tetapi bertudung, menggunakan tudung hanya waktu terrtentu sahaja, wujudnya kaum lelaki yang tidak menjaga aurat dalam beriadhah dan berseni adalah antara gejala yang kini berleluasa dalam masyarakat.

Katanya lagi, tudung yang kini dilihat suatu fesyen terbaru ditanggapi hanya sebagai tren semasa yang akhirnya memesongkan kefahaman masyarakat terhadap pengertian sebenar menutup aurat seperti yang dituntut oleh Islam.

Menurutnya, kini gaya berpakaian bertudung sedang menjalani era komersialisasi yang amat pesat sehingga ramai artis dan wanita muda memakai tudung bukan kerana kefahaman dan penghayatan yang mendalam akan tetapi kerana ia dilihat sebagai tren.

“Kempen ini akan melibatkan seluruh lapisan masyarakat serta pelbagai agensi dan pertubuhan Islam supaya konsep menjaga aurat dihayati dan mencapai kesan yang sepatutnya.

“Ia juga akan melibatkan agensi media, kesatuan sekerja , badan belia, pertubuhan wanita, badan professional, badan korporat dan persatuan mahasiswa IPT,” katanya lagi.

Kempen itu, ujarnya akan melibatkan pelbagai aktiviti seperti menyebar risalah dan poster, forum, ceramah penerangan, dialog, khutbah, penerangan di institusi pendidikan dan demonstarsi tatacara berpakaian dalam Islam.

Sehingga kini, katanya sebanyak 100 NGO di negeri Kedah telah bersama dalam Wehdah untuk bersama dalam kempen itu.

Menurutnya beliau lagi, kempen itu akan menarik institusi masjid dan surau untuk menyertainya yang akan melibatkan seluruh institusi masjid sebanyak lebih 500 buah di negeri Kedah.

Katanya, kempen juga akan mengadakan aktiviti dialog dan penerangan kepada badan-badan bukan Islam supaya masyarakat bukan Islam dapat memahami kenapa mereka harus mengharmoti kewajipan orang Islam menjaga aurat dalam semua aspek kehidupan sosio-budaya-ekonomi mereka.

“Memorandum khas mengenai kempen ini juga akan diserahkan kepada kerajaan negeri, jabatan dan agensi swasta untuk mendapatkan perakuan persetujuan dan sokongan mereka terhadap etika menjaga aurat sebagai kod berpakaian pekerja.

“Sekretariat kempen ini membuka pendaftaran kepada 100 orang sukarelwan untuk menyumbang tenaga,” ujarnya.harakahdaily.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan