Isnin, 6 Februari 2012

2 juta orang Melayu belum daftar pemilih

SHAH ALAM - Sejumlah dua juta orang Melayu daripada 3.7 juta individu yang layak mengundi masih belum mendaftar.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, 60 peratus daripada jumlah itu adalah mereka yang dibawah 40 tahun.
 
“Ramai orang Melayu tidak ambil berat mengenai perkara ini, mereka hanya tahu bercakap itu dan ini, tetapi tidak memikirkan akan kesan kepada masa depan bangsa dan negara susulan daripada sikap mereka itu.
 
“SPR telah melakukan pelbagai cara untuk meng­ingatkan tanggungjawab mereka sebagai rakyat di negara ini dan kita harap kerja ini turut dilakukan pihak lain,” katanya.
 
Menurut Wan Ahmad, cara yang paling efektif menarik kumpulan itu mendaftar adalah nasihat daripada ahli keluarga sendiri.
 
“Mereka yang belum mendaftar ini ada ahli keluarga terdekat, jadi ahli keluarga terutamanya ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak mereka untuk mendaftar sebagai pengundi,” katanya.
 
Menurutnya, kemungkinan besar mereka yang baru mendaftar pada suku tahun pertama 2012, layak untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
 
“Tiada siapa tahu lagi bila parlimen akan dibubarkan, tetapi jika parlimen dibubarkan sebelum Mei ini, mereka yang telah mendaftar pada bulan Januari, Febuari dan Mac 2012, layak untuk mengundi.
 
“Bukan niat kita untuk melengah-lengahkan kemasukan nama mereka sebagai daftar pemilih yang sah, kerana semua proses itu perlu ikut undang-undang,” katanya.
 
Beliau berkata, daripada 16.1 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas yang layak mendaftar sebagai pe­ngundi, 12.4 juta sudah berdaftar.
 
Secara purata, sebanyak 200,000 nama pengundi baru diproses dan 50,000 lagi bagi tujuan pertukaran alamat pada setiap suku tahun.
 
Sebelum ini, SPR mengumumkan akan menggugurkan nama 42,025 pengundi yang status mereka meragukan daripada senarai daftar pemilih, selepas tempoh semakan tamat 30 Januari lalu.
 
Wan Ahmad berkata, pihaknya kini giat membersihkan daftar pemilih bagi memastikan pilihan raya akan datang benar-benar bersih.
 
“SPR telah memberi masa yang lama, senarai nama itu telah dipamerkan sejak Oktober tahun lalu, tetapi hanya mendapat maklum balas daripada 50 orang waris sahaja.
 
“Hasil semakan de­ngan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hanya 26 daripada 50 maklum balas yang diterima menunjukkan rekod pemilih terbabit adalah aktif, manakala 24 lagi tidak aktif,” katanya.sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan