Isnin, 6 Februari 2012

Haramkan trend sambung rambut

LONDON 5 Feb. - Pakar rambut menggesa trend menyambung rambut diharamkan selepas seorang wanita maut akibat gam yang digunakan untuk melekatkan rambut berkenaan.
Pakar sains rambut dan kulit kepala, Barry Stephens berkata, bahan kimia yang digunakan untuk rambut sambungan itu boleh menjadi berbahaya jika terkena kulit.
''Kedai salon selalunya menggunakan gam lateks dan kebanyakan orang di United Kingdom mengalami alahan terhadap bahan itu.
''Jika seorang wanita itu sedang berpeluh, akan berlaku kemungkinan gam tersebut akan memasuki saluran darahnya,'' katanya.
Beliau berkata, keadaan itu akan menyebabkan reaksi alergi.
Dalam kejadian baru-baru ini, wanita yang dikenali sebagai Atasha Graham, 34, dari Lee, tenggara London yang memakai rambut sambungan sejak berusia 20 tahun maut namun keputusan siasatan ke atas kematiannya adalah kematian semula jadi.
Pakar bedah siasat, Michael Heath berkata, beliau melihat banyak kes di mana penggunaan bahan pelarut menyebabkan kejutan anaphylactic.
''Trend menyambung rambut sepatutnya diharamkan kerana ia sentiasa akan berakhir dengan tangisan,'' katanya.
Pelbagai jenis gam, lilin dan gelung besi kecil bernilai antara 300 pound (RM1,428) hingga 15,000 pound (RM71,400) digunakan untuk menyambung rambut.
Heath berkata, penggunaannya boleh menyebabkan kerosakan kosmetik.
''Ia menarik rambut dari kulit kepala yang adakalanya menyebabkan pendarahan dan risiko jangkitan kuman peringkat kedua,'' ujarnya. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan