Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa, Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta, Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara, Jika hari ini seorang ulama yang mulia, Jika hari ini seorang peguam menang bicara, Jika hari ini seorang penulis terkemuka, Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa; Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa, Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca. Usman Awang 1979
Rabu, 15 Februari 2012
Iran nafi dalangi letupan
TEHERAN 14 Feb. - Iran hari ini menafikan tuduhan Israel bahawa negara ini mendalangi serangan ke atas kakitangan Kedutaan Israel di India dan Georgia.
"Kami sama sekali menyangkal tuduhan yang dilemparkan oleh rejim Zionis kerana itu hanya sebahagian perang propagandanya.
"Iran mengutuk segala tindakan keganasan," kata jurucakap Kementerian Luar, Ramin Mehmanparast, menurut siaran televisyen berbahasa Arab, Al-Alam.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menuduh Iran mendalangi serangan yang mencederakan dua orang, termasuk seorang diplomat wanita Israel yang cedera parah.
"Iran mendalangi serangan itu, ia pengeksport keganasan terbesar di dunia," kata Netanyahu kepada anggota parti Likud pimpinannya.
Beliau mendakwa, beberapa percubaan telah dilakukan untuk membunuh atau mencederakan rakyat Israel dan Yahudi sejak beberapa bulan lalu, di tempat seperti Thailand dan Azerbaijan, dalam siri serangan yang dirancang oleh Teheran dan sekutunya, pergerakan Syiah di Lebanon, Hizbullah.
Semalam sebuah kereta di luar Kedutaan Israel di New Delhi meletup, menyebabkan seorang diplomat wanita Israel dan pemandunya cedera.
Dalam kejadian berasingan, Kementerian Dalam Negeri Georgia mengesahkan, polis di ibu negara, Tbilisi mematikan sebutir bom yang ditemui di dalam kereta seorang kakitangan Kedutaan Israel.
Mehmanparast berkata, Iran turut menjadi mangsa tindakan keganasan dan rejim Zionis itu sendiri melakukan keganasan dan pendudukan di wilayah Palestin.
Empat saintis Iran termasuk tiga yang terlibat dalam program nuklear Teheran, terbunuh dalam serangan bom di Iran dalam tempoh dua tahun lalu..
Pihak berkuasa Iran menuduh agensi pengintipan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, iaitu Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Mossad mendalangi serangan itu. - AFP
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan