Ahad, 8 Julai 2012

Pergaduhan kumpulan samseng, polis tahan lapan lelaki

IPOH 6 Julai - Polis menahan lapan lelaki kerana bertindak ganas dengan menyerang sekumpulan anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan samseng di Kawasan Perusahaan Menglembu di sini Rabu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan berkata, lapan anggota kumpulan 08 Vinod itu menyerang polis ketika dalam perjalanan untuk membalas dendam ke atas satu lagi kumpulan samseng dikenali 04 Menglembu yang didakwa membunuh rakan mereka.
Katanya, sekumpulan anggota polis telah bergegas ke kawasan perusahaan Menglembu kira-kira pukul 1.15 pagi sebaik sahaja menerima maklumat mengenai pergaduhan antara dua kumpulan itu.
''Sebaik sahaja sampai, datang sekumpulan lelaki India kira-kira 20 hingga 25 orang yang menaiki motosikal dan bersenjata parang menyerang polis yang cuba menghalang pergaduhan itu.
''Ekoran itu polis terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara bagi menyuraikan kumpulan tersebut daripada terus melakukan serangan dan menyebabkan kesemua mereka melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Shukri memberitahu, ekoran kejadian itu, cermin hadapan dan cermin sisi pemandu kereta peronda polis pecah akibat ditetak dengan parang oleh kumpulan berkenaan.
Beliau memberitahu, pihaknya turut merampas 23 bilah senjata tajam berupa parang dan pedang samurai di tiga lokasi berhampiran.
Katanya, polis kemudiannya melancarkan operasi memburu anggota kumpulan tersebut dan berjaya menahan enam daripadanya pada hari kejadian dan dua lagi kira-kira pukul 2.45 pagi ini.
''Kumpulan tersebut dikatakan mahu membalas dendam kematian rakan mereka yang diserang oleh sekumpulan lelaki dipercayai kumpulan 04 Menglembu kira-kira pukul 11.50 malam Rabu lalu.
''Mangsa berusia 20 tahun itu dikatakan ditarik ke dalam sebuah kereta sebelum ditetak dan ditinggalkan di tepi jalan di kawasan Pusing, Batu Gajah dekat sini. Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah," katanya.utusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan