Ahad, 8 Julai 2012

Janin ditemui dalam kotak kasut

MELAKA 5 Julai - Seorang pemandu bas terkejut apabila menemui janin bayi lelaki dalam sebuah kotak kasut di bawah sink tandas awam di Melaka Sentral di sini hari ini.
Janin yang cukup sifat dipercayai berusia antara enam hingga lapan bulan itu ditemui lelaki tersebut yang memasuki tandas itu kira-kira pukul 8.10 pagi.
Pemandu berusia lingkungan 30-an itu curiga apabila melihat sebuah kotak kasut lalu membukanya dan terkejut melihat janin itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Muhammad Koey Abdullah berkata, pemandu bas itu kemudian membawa kotak berisi janin bayi berkenaan dan menyerahkannya kepada pengawal keselamatan.
"Pengawal keselamatan kemudian memaklumkan penemuan janin itu kepada polis," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini.
Muhammad Koey berkata, polis percaya janin berkenaan diletakkan dalam tandas sejak pukul 5 pagi ini sebelum ia ditemui.
Katanya, ini kerana tandas di stesen itu ditutup pada waktu malam dan hanya dibuka kira-kira pukul 5 pagi.
Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hadapan pintu masuk tandas berkenaan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.
"Janin yang belum diketahui keturunan ini telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.utusanmalaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan