Jumaat, 14 Oktober 2011

Siapa Mat Indera dari pandangan Umno

 

Mat Indera rancang serangan ke atas Bukit Kepong

SIAPA sebenar Ahmad Indera atau Mat Indera? Persoalan ini mencetuskan polemik selepas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa Mat Indera yang mengetuai serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, 61 tahun lalu, sebagai pejuang kemerdekaan.

Malah, isu itu terus menimbulkan kontroversi apabila sebuah buku yang diterbitkan Yayasan Warisan Johor didakwa menyenaraikan Mat Indera antara 22 tokoh pejuang di Johor. Ikuti penjelasan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengenai status Mat Indera.

Pembabitan dalam kegiatan pengganas tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan negara.

MAT Indera atau nama sebenarnya Ahmad bin Indera ialah anak Johor yang terbabit dalam gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British sebelum Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan.

Beliau pada awalnya, seperti individu lain juga yang berjuang atas platform masing-masing, dengan matlamat yang sama iaitu membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.

Bezanya, Mat Indera membabitkan diri dalam gerakan haluan kiri dengan menjadi ahli kepada sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad.

Sayap pemuda PKMM dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam. Haluan kiri ini termasuk juga gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempengaruhi pelbagai gerakan buruh dan masyarakat awam.

Apabila pihak berkuasa British menguatkuasakan Undang-Undang Darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu (selepas tindakan militan dan ganas PKM membunuh peladang British), semua parti politik berhaluan kiri seperti PKMM, AWAS, API dan PKM diharamkan.

Oleh itu, ramai ahli gerakan haluan kiri ini memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang di atas platform lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

sumber :http://brojinggo.blogspot.com/2011/09/siapa-mat-indera-pejuang-atau-pengganas.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan