Sabtu, 1 Oktober 2011

Indeks Kadar Jenayah Catatkan Penurunan Yang Memberangsangkan - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di landasan yang tepat dalam usaha mengurangkan indeks kadar jenayah dengan melibatkan kerjasama daripada masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, berdasarkan penilaian yang dikeluarkan oleh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM pada setiap tahun mencatatkan jumlah penurunan kadar jenayah yang memberangsangkan. “Berdasarkan statistik terkini, indeks kadar jenayah antara Januari hingga Ogos tahun ini menurun sebanyak 23.6 peratus, manakala kadar jenayah jalanan pula berkurang sebanyak 39.7 peratus dalam tempoh sama berbanding 2009.

MAYAT empat penjenayah warga Indonesia di atas jalan selepas mati ditembak oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban di Jalan Seremban-Labu
berhampiran pejabat Kualiti Alam Sdn. Bhd., Seremban.
sekadar hiasan


“Ini satu usaha yang membanggakan kerana ia tidak mudah dicapai dalam tempoh yang singkat. Sekarang kita perlu memastikan indeks kadar jenayah sentiasa mencatatkan penurunan,” katanya ketika berucap pada Hari Terbuka PDRM di Dataran Merdeka pada Sabtu.
Beliau berkata PDRM perlu memberi lebih banyak peluang kepada anggotanya menjalankan tugas yang lebih dekat kepada masyarakat agar hubungan lebih akrab terjalin dengan orang awam.
"Saya ingin menyarankan agar pihak polis menimbangkan potensi penggiliran pegawai dan anggotanya dalam tugasan kepolisian masyarakat untuk memperluaskan pendedahan semua warga polis kepada kaedah mesra rakyat," katanya.
Menurut Muhyiddin, hubungan kukuh antara polis dan penduduk adalah asas perkongsian pintar yang dapat membantu mengenal pasti jenayah dengan awal dan melaksanakan strategi terbaik untuk mengatasinya.
"Jelas sekali pencegahan jenayah bukan sahaja memerlukan kesedaran tentang jenayah masyarakat, malah amat bergantung kepada kerjasama yang diterima pihak polis daripada masyarakat setempat," katanya.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Hari Kesedaran Jenayah dengan mendengar ikrar 1,000 orang Belia 1Malaysia yang berbasikal dalam program Kayuhan 1,000 Belia untuk membantu polis membanteras jenayah.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Pelbagai program diadakan sempena Hari Terbuka PDRM itu antaranya pameran, permainan bola sepak jalanan dan persembahan khas oleh PDRM bermula 8.30 pagi hingga 6 petang ini.
sumber :  the star

p/s : kadar jenayah menurun! banyak kejadian bunuh dan rompak berlaku, hatta di tempat awam. Penulis kurang tidak setuju jika dikatakan indek jenayah menurun, ini kerana kita sendiri takut untuk keluar rumah pada waktu malam di tempat sunyi dan apabila hendak meninggalkan rumah, kita sendiri tidak yakin yang rumah kita tidak akan dimasuki pencuri, maksudnya dalam fikiran kita sentiasa memikirkan tentang penjenayah akan memasuki rumah jika rumah tidak berpenghuni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan