Jumaat, 14 Oktober 2011

Kes ragut di KL naik 100 peratus!

KUALA LUMPUR 16 April – Jenayah ragut di ibu negara semakin membimbangkan dengan peningkatan 99 peratus kes dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

sekadar hiasan

Jenayah ragut antara Januari hingga April tahun ini mencatatkan kenaikan sebanyak 600 kes iaitu 1,206 kes berbanding 606 kes sepanjang tempoh yang sama tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, selain jenayah ragut, turut meningkat secara mendadak ialah samun berkumpulan tanpa senjata api dengan 1,005 kes atau peningkatan 80.5 peratus.
‘‘Empat bulan pertama tahun lalu jenayah itu merekodkan 1,249 kes, tahun ini pula mencatat 2,254 kes.
“Samun berseorangan tanpa senjata api pula turut meningkat sebanyak 24 peratus iaitu dari 234 kes kepada 290 kes,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Chin Wah, ketiga-tiga jenayah terbabit menyumbang 31 peratus dalam keseluruhan indeks jenayah di Kuala Lumpur setakat April tahun ini.
Memandang berat perkembangan itu, menurutnya, satu operasi besar-besaran telah dilancarkan oleh polis Kuala Lumpur sebagai langkah proaktif untuk mencegahnya daripada terus meningkat.
Chin Wah berkata, operasi yang berkonsepkan ‘kepolisan agresif’ itu menggabungkan semua jabatan dan cawangan IPK Kuala Lumpur, antaranya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), JSJ Narkotik, Cawangan Khas, Cawangan Trafik serta Pasukan Gerakan Am.
‘‘Sepanjang operasi dijalankan, polis akan lebih kerap menjalankan pemeriksaan terhadap orang ramai di kawasan tumpuan jenayah yang dikenal pasti selain sekatan jalan untuk memeriksa kenderaan.
‘‘Oleh itu, polis harap orang ramai akan faham tindakan polis dan memberikan kerjasama sepenuhnya termasuk menyalurkan maklumat kepada polis,’’ katanya.
Beliau berkata, operasi tersebut telah bermula semalam dan pihaknya memperuntukkan tempoh sebulan bagi melihat hasilnya sebelum ia dikaji dan diperkemaskan sekiranya perlu untuk bulan seterusnya.
‘‘Kita juga akan mengeluarkan statistik harian yang mengandungi indeks jenayah dan jumlah pemeriksaan serta tangkapan untuk siaran media.
‘‘Inisiatif ini bukan bertujuan menakut-nakutkan warga kota tetapi kita mahu mereka tahu gambaran sebenar keadaan jenayah di ibu negara serta ingin mereka tahu apa yang polis lakukan untuk mengatasi masalah ini,’’ jelasnya.
Dalam tempoh 24 jam pertama operasi tersebut, polis melakukan 37 tangkapan hasil pemeriksaan ke atas 1,837 individu.
‘‘Kita berjaya menahan lapan suspek kes samun di kawasan Sentul dan Brickfields, 15 penagih dadah dan selebihnya ialah pendatang asing tanpa izin,” tambahnya.
Selain itu, daripada jumlah 1,089 kenderaan yang diperiksa, polis menemui semula tiga buah motosikal yang disyaki kenderaan dicuri.
Dalam pada itu, Chin Wah mengarahkan supaya semua pemeriksaan turut dihadiri oleh seorang pegawai atau anggota beruniform.

sumber : utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan