Selasa, 31 Januari 2012

Pelacur wanita tempatan meningkat 70 peratus

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kegiatan pelacuran membabitkan golongan wanita tempatan dikesan meningkat hampir 70 peratus iaitu daripada 1,060 orang pada 2010 kepada 1,801 orang pada tahun lalu.
Statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menunjukkan kaum Cina merekod jumlah seramai 333 orang diikuti Melayu (213 orang), India (83 orang) dan lain-lain kaum (430 orang).
Kajian mendapati faktor kesempitan hidup dan keinginan untuk meraih pendapatan tinggi dengan cara mudah dan cepat selain kepincangan dalam institusi kekeluargaan merupakan punca utama menyumbang kegiatan pelacuran membabitkan wanita tempatan.




Dalam pada itu, statistik tersebut turut menunjukkan PDRM berjaya menahan seramai 11,832 wanita warga asing yang terlibat dalam aktiviti pelacuran pada tahun lalu, berbanding 11,919 wanita bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Tangkapan tertinggi yang direkodkan adalah dari China iaitu seramai 5,922 orang diikuti Vietnam (2,169 orang), Thailand (1,492 orang), Indonesia (1,208 orang) dan Filipina (750 orang).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, PDRM sentiasa menjalankan operasi berterusan ke atas pusat hiburan, hotel, rumah urut dan premis-premis persendirian dalam membanteras kegiatan pelacuran di negara ini.
"Pada awal tahun ini, seramai 15 wanita dari negara Timur Tengah turut ditahan kerana terlibat dalam aktiviti pelacuran di sekitar ibu negara.
"Hasil maklumat orang ramai dan risikan polis, trend itu wujud atas permintaan pelanggan yang juga dari negara Asia Barat.
"Secara keseluruhan, kegiatan haram itu masih tidak membimbangkan dan pihak polis memerlukan kerjasama semua pihak untuk menyalurkan maklumat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Mohd. Bakri berkata, sepanjang tahun lalu juga, seramai 218 mangsa pemerdagangan berjaya diselamatkan dan kesemua mangsa itu telah diberikan perlindungan, manakala seramai 159 orang ditahan kerana terlibat dalam kes pemerdagangan orang.
Dalam pada itu, jelas beliau, seramai 24,962 orang ditahan dalam 34,865 serbuan dibuat ke atas premis yang menjalankan kegiatan perjudian haram di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
"Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10,324 serbuan dan 4,790 tangkapan dibuat bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan