Jumaat, 27 Januari 2012

Cuepacs beri amaran 'pulau' panel khas SBPA

GEORGETOWN - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menarik diri daripada menganggotai pasukan petugas yang dibentuk untuk menyemak semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) jika kerajaan tidak menambah wakil badan induk kakitangan awam itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mahu agar tiga lagi pegawai tertinggi Cuepacs dibenarkan menyertainya pada mesyuarat pasukan petugas khas SBPA.

"Sekiranya tiga pegawai saya tidak dibenarkan untuk turut serta dalam mesyuarat itu  saya akan tarik diri dari pasukan itu, kerana ia tidak adil bagi saya.
"Saya adalah wakil kepada 1.3 juta penjawat awam yang lain," katanya dipetik Bernama.Terdahulu beliau menghadiri taklimat SBPA kepadaanggota Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini, hari ini.

Selain itu katanya, Cuepacs akan membuat sesi jelajah sehingga April depan bagi memberi  penerangan kepada penjawat awam tentang SBPA.

"Sekarang ini kita cuma boleh minta semua penjawat awam supaya bersabar dan bertenang, tunggu sehingga tempoh semakan semula selesai," katanya.

SBPA yang sepatutnya dilaksana bulan ini ditangguhkan sementara bagi memberi peluang kepada pasukan petugas khas menyemak semula skim itu yang dikatakanpersatuan penjawat awam sebagai agak kurang adil serta mengelirukan.

Pasukan petugas khas itu yang ditubuhkan pertengahan bulan ini diberi masa tiga bulan untuk melakukan semakan dan mengemukakan cadangan baru kepadakerajaan.Ia dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.
Selain beliau, ia juga dianggotai pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Presiden Cuepacs serta pegawai kementerian yang berkaitan.

Dalam pada itu, Omar berkata, Cuepacs akan mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbang dalam semakan semula SBPA.Katanya, lima perkara itu menumpukan kepada aspek keadilan dan kesaksamaan khususnya bagi penjawat awam pada gred 54 dan kebawah.

Lima perkara terbabit ialah mengkaji semula pindahan gaji bagi gred 54 dan ke bawah; mengekalkan kedudukan kekananan yang ada dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji semula kedudukan gaji penjawat yangtelah lama mencapai tahap gaji maksimum; mengkaji semula kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus; dan semak kembali penstrukturan semula di semua peringkat gred.
"Kami harap  hasil semakan  semula ini akan memberikan keceriaan kepada semua penjawat awam," katanya.
sumber : sinarharian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan