Rabu, 18 Januari 2012

Kementerian Kesihatan sambut baik fatwa haramkan bank susu ibu

PAPAR: Kementerian Kesihatan menyambut baik keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bahawa bank susu ibu adalah haram.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kementerian itu juga tidak menggalakkan penubuhan institusi sedemikian.
"Kita perlu mengetahui dan mengenali ibu yang memberikan susu kepada anak kita kerana terdapat unsur-unsur agama yang perlu dihormati," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan Papar, di sini hari ini.

Rosnah yang juga Anggota Parlimen Papar berkata demikian sebagai mengulas laporan media awal minggu ini, yang antara lain melaporkan jawatankuasa itu berpendapat tindakan tersebut boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara haram.


Mengenai majlis hari ini, Rosnah berharap lebih ramai nelayan berdaftar menjadi anggota Persatuan Nelayan Kawasan Papar.

Persatuan ini dapat menjadi pemudah cara dalam urusan pengagihan bantuan kerajaan kepada komuniti itu, katanya.

Pada majlis itu, seramai 502 nelayan menerima elaun bulanan sebanyak RM200. -- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan