Selasa, 15 November 2011

Najwa anak TPM menyayi kerana bakat.

KUALA LUMPUR, 15 NOV 2011: Umum sedia maklum, pelantun lagu Got To Go, Najwa merupakan puteri kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Najwa Enggan Dibayangi Bapa




Lantas kehadiran dan kejayaan Najwa dalam bidang seni muzik sering kali dikatakan dibayangi bapaya sendiri.
Pastinya ada kata-kata nakal di belakang yang acapkali memperkatakan mengenai isu tersebut.

Menyedari perkara tersebut, jelas Najwa, seboleh mungkin dia mahu pandangan skeptikal tersebut dihapuskan.

"Susah juga, bila orang bercakap bahawa kehadiran saya dalam dunia seni sebenarnya dibayangi oleh ayah saya. Bukan itu sahaja, malah macam-macam lagi orang berkata mengenai saya.

"Apa yang boleh saya katakan, saya tak pernah mengharapkan apa-apa daripadanya. Janganlah kerana saya anak kepada TPM, mereka boleh cakap macam-macam," katanya kepada portal murai.com.my.

Menyambung perbualan, jelas penuntut tahun dua Kolej Muzik Berklee, Amerika Syarikat ini, meskipun perkara tersebut tidak disenanginya namun dia menganggap perkara itu merupakan proses kehidupan yang lumrah dihadapi oleh sesiapa terutama dirinya sebagai seorang selebriti.

"Kadang kala saya anggap perkara seumpama ini hanyalah lawak jenaka. Apabila orang bercakap seperti itu, saya membalas ya memang semuanya betul. Ayah yang buat lagu, ayah juga yang menyanyikan kepada mereka," katanya sambil ketawa.

Memenangi dua kategori di Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM 18) menerusi Artis Baru Terbaik serta Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, kata Najwa, dia berharap kemenangan tersebut sekurang-kurangnya membuktikan kehadirannya dalam dunia seni bukanlah sekadar tempelan semata-mata.

"Saya berharap menerusi kemenangan ini, akan membuka pandangan orang ramai yang tidak percaya dengan bakat yang saya ada.

"Kalau selama ini mereka mungkin menganggap saya terjun dalam dunia muzik hanya kerana dibayangi oleh ayah, tapi saya amat berharap sekurang-kurang dengan kemenangan ini mampu mengikis tanggapan tersebut," katanya.

Berkongsi perkembangan seninya, kata Najwa besar kemungkinan dia akan tampil dengan album Bahasa Melayu tidak lama lagi.

"Semuanya masih dalam perancangan. Mungkin saya akan muncul dengan album baru dalam bahasa Melayu. Namun semuanya masih baru, jadi belum ada lagi perkembangannya. Ini hanyalah perancangan saja, tapi saya rasa elemen soul akan tetap ada, cuma mungkin akan diselitkan dengan irama lain seperti klasikal Melayu di dalamnya kelak," jelasnya.murai.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan