Isnin, 29 April 2013

Pendapat mengenai tahlil arwah...


Ulasan Terhadap Risalah "Sampaikah Amalan Orang Hidup kepada Arwah?"



1. Pengulas mendapat tahu tentang buku ini daripada Tan Sri Harussani sendiri yang menyarankan pengulas mendapatkan buku ini. Pengulas berjaya memiliki buku ini selepas dibeli di kedai Pelima Media sempena Pesta Buku 2011, PWTC dan membaca keseluruhan isi buku tersebut keesokan harinya. Risalah kecil ini ditulis oleh bukan orang yang sebarangan, seorang ilmuwan Melayu atas nama Dr Muhammad Afifi al-Akiti yang berkhidmat sebagai pensyarah Pengajian Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford. Tidak hairanlah Tan Sri Harussani mempromosikan buku ini kerana beliau memberi kata-kata aluan di dalam buku ini. "Sampaikah Amalan Orang Hidup kepada Arwah?", tajuknya sudah cukup memberikan tarikan kepada para pencinta ilmu.



2. Dr Afifi Al-Akiti berjaya menyajikan para pembaca dengan hujah-hujah serta pandangan dari mazhab Syafie oleh para ulamak Syafieyyah seperti al-Nawawi, al-Khazin, al-Subki, Zakariyya al-Ansari, Ibn Hajar, al-Ramli, al-Bujaimiri, Ba'ashn, Balfaqih, al-Jurdani bahawasanya boleh amal soleh oleh si hidup dihadiahkan kepada arwah. Antara yang menarik apabila beliau membuktikan Qaul Masyur - Imam Nawawi dalam Sharh Muslim dan ulasan semula Imam Nawawi terhadap hujahnya sendiri dalam Sharh Muslim itu di dalam kitab selepasnya yakni Al-Adzkar.



3. Beliau menganggap mereka yang berpandangan bahawa pandangan bahawa amal soleh yang ingin dihadiahkan itu tidak sampai pahalanya kepada arwah sebagai pandangan Muktazilah. Terutama pada mereka yang menggunakan dalil naqli melalui ayat surah An-Najm 53:39. Ayat ini kemudian dikupas dari sudut ilmu nahu, usuluddin dan beberapa tafsiran mufassirin seperti al-Khazin dan Ibn Abbas.



4.Beliau menyimpulkan bolehnya menghadiahkan amal soleh kepada si mati dalam apa jua bentuk (baik dalam bentuk sedekah jariah, bacaan Quran dan apa jua amal soleh) kepada arwah berdasarkan hujah para ulamak Syafieiyyah silam dan kontemporer (seperti Dr Wahbah Zuhaily).



5.Namun kelompongan yang dilihat jelas dalam penjelasan panjang lebar berkaitan hukum sampai atau tidak ini tidak dapat pula membuktikan pandangan para ulamak silam mahupun kontemporer tentang hukum ini yang diterjemahkan dalam bentuk amalan berkumpulan oleh masyarakat Islam di Nusantara khususnya iaitu apa yang lebih dikenali sebagai majlis tahlilan atau tahlil arwah. Perbahasan dijangka akan menjadi lebih menarik jika mengambil kira pandangan para ulamak Syafieyyah silam dan kontemporari tentang hal yang disebutkan ini.



6.Melihat kepada tajuk buku ini, tidaklah menjadi suatu isu besar untuk tidak mengupas sama isu amalan masyarakat Islam Nusanantara ini yang berhimpun dalam rangka menyampaikan/menghadiahkan pahala kepada arwah, namun amalan yang dinamakan kaffarah dan wahsyah yang menyebabkan orang ramai berhimpun di sisi keluarga arwah sehingga memerlukan keluarga arwah menjamu mereka (para tetamu/hadirin yang berkumpul di rumah arwah) pada malam pertama selepas pengebumian mayat, pada hari 7, hari 20, hari ke 40 dan seumpamanya ini telah menjadi amalan yang sebati dan perlu dikupas sesuai dengan tajuk buku tersebut. Malahan tidak pula disebutkan sebarang qaul daripada Imam as-Syafie sendiri. Hanya menngambil kira pandangan para ulamak Syafiiyyah yang muktabar dan ulasan mereka mengenai sampai atau tidak pahala kepada si mati. Adapun majlis tahlilan tidak dibincangkan baik pandangan Imam Syafie sendiri mahupun pandangan para ulamak Syafiiyyah.



7. Pandangan sampainya pahala kepada arwah ini tidak menjadi persoalan pokok di kalangan ahli ilmu atau golongan agamawan dahulu dan kini, namun apa yang menjadi fokus dan perdebatan sehingga dikhuatiri mengelirukan orang awam ialah amalan secara berkumpulan sehingga telah menjadi persepsi ibadah oleh masyarakat Islam Nusantara akan hal ini. Justeru kita lihat, walaupun amalan ini jarang disebutkan oleh para ulamak silam, namun ianya dikupas dan di terangkan panjang lebar oleh para ulamak Syafie'yah yang terkenal di Nusantara dalam kitab-kitab kuning mereka seperti apa yang termuat dalam Bughyatul Tullab (oleh As Syeikh Daud Bin Abdullah Bin Idris al-Patani), Furuk Masail (Terjemah Maulana As Syeikh Daud Bin Abdullah Patani), Sabilal Muhtadin (oleh Mohd Arshad B. Abd Al-Banjari), Kasyfullilthami `an as ilatil anam (oleh Zainul Abidin Ibn Mohd Al-Patani) dan sebagainya.



8. Kesimpulannya, Dr Afifi AlAkiti berjaya mengupas isu dalam buku ini dengan jelas dalam suatu sudut yang beliau bahaskan namun tidak merungkai salah tafsiran dan kesamaran dalam isu yang dibahaskan ini. Namun, kupasan yang dipaparkan menepati disiplin dan akhlak ilmu sehingga buku ini sesuai dijadikan bahan bacaan kajian dan perbincangan lanjut oleh golongan agamawan di dalam masyarakat Islam Nusantara.


Wallahu'allam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan