Ahad, 28 April 2013

Pembunuh upahan.....Gaya sama, pembunuh berbeza


KUALA LUMPUR - Polis menolak andaian sesetengah pihak yang mengaitkan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya dengan satu lagi kes dengan modus operandi sama di Taman Billion, Cheras di sini kelmarin.
Kes kedua itu melibatkan seorang tauke kedai gunting rambut, R. Karikaalan, 29, yang maut akibat kecederaan parah di badan setelah ditembak oleh dua lelaki yang menaiki motosikal.
Sewaktu kejadian, mangsa bersama ibunya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di di Taman Puchong Hartamas kira-kira pukul 11.30 pagi kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, kedua-dua kes berkaitan tidak berkaitan langsung antara satu sama lain.
Katanya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kedua-dua kes tersebut.
"Setakat ini, masih belum ada tangkapan terhadap mana-mana suspek kerana siasatan masih dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan mengenai kematian Shaharuddin, 58, yang maut ditembak oleh dua lelaki disyaki pembunuh upahan sewaktu sedang berhenti di satu persimpangan lampu isyarat di Lebuh Sentosa, Putrajaya dekat sini.
Mangsa yang ketika itu sedang dalam perjalanan ke pejabatnya di Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Presint 2, maut sewaktu sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Sumber : kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan