Isnin, 29 April 2013

Musa Hassan dilantik penasihat Majlis Penasihat Keselamatan Pakatan Rakyat



KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bersetuju untuk dilantik sebagai salah seorang penasihat kepada Majlis Penasihat Keselamatan Pakatan Rakyat (MPKPR).

Menurut Musa, keputusan itu dibuat atas dasar keselamatan, bukannya melibatkan diri dalam mana-mana parti politik.

Beliau juga berkata, skop tugasan sebagai penasihat adalah membantu memberi nasihat kepada MPKPR untuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara termasuklah pasukan polis.

"...sebagai penasihat saya akan bantu, saya bagi nasihat, tapi saya tak terlibat dengan mana-mana parti politik. Jangan ada orang salah faham dan salah anggap pula.

"Saya sangat beri perhatian kepada masalah yang berkaitan keselamatan, bukan nak bantah kerajaan.

"Kalau Barisan Nasional (BN) nak saya jadi penasihat atau ceramah saya datang juga, kalau PR nak saya jadi penasihat saya datang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Difahamkan, Musa juga akan memberi nasihat kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam soal keselamatan di mana ia adalah sebahagian dari tugas penasihat MPKPR tersebut.

 MPKPR telah dilancarkan pada 31 Mac lalu di mana ia didakwa sebagai inisiatif baru dalam bidang keselamatan untuk persediaan perikatan itu jika menerajui kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Hashim Hussein diangkat sebagai pengerusi majlis tersebut.

Dalam pada itu, Musa juga berkata penyertaannya sebagai penasihat bukan untuk menarik kakitangan awam terutamnya pasukan polis membuat perubahan kerajaan pada pilihan raya umum ini.

"Saya bukan ajak rakyat untuk undi mana-mana parti...undi itu rahsia.

"Saya juga akan mengundi pada 5 Mei ini," katanya lagi.
sumber:sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan