Isnin, 29 April 2013

Isteri upah samseng bunuh suami


Subang Jaya: Tidak tahan dipukul suami, seorang wanita berusia lewat 30-an sanggup mengupah sekumpulan tiga samseng bagi membelasah lelaki terbabit dengan bantuan kekasih barunya.

Biarpun niat asalnya hanya mahu ‘mengajar’ suami berusia 40 tahun itu, namun tiga samseng yang menerima upah RM3,600 daripada wanita terbabit membelasah mangsa sehingga mati dalam kejadian di rumahnya di USJ, di sini, awal pagi semalam.


Panik dengan keadaan mangsa, tiga lelaki terbabit yang bersenjatakan parang cuba melarikan diri meninggalkan lokasi kejadian.

Bagaimanapun, dua daripada mereka ditangkap orang awam di tempat kejadian, jam 4.45 pagi.


Menurut sumber, hasil siasatan lanjut terhadap penahanan dua lelaki berusia lewat 20-an itu, polis menahan dua lagi lelaki dan isteri mangsa yang disyaki dalang utama pembunuhan berkenaan.


“Kes ini dapat diselesaikan dalam tempoh empat jam dengan penahanan kelima-lima suspek,” katanya.

Dia berkata, mangsa yang juga pemandu lori sering meninggalkan rumahnya dan mengesyaki isterinya berlaku curang.


“Disebabkan itu, mangsa sering memukul isterinya itu. Setiap kali dipukul, wanita terbabit akan mengadu kepada teman lelakinya,” katanya.

Sumber itu berkata, wanita terbabit yang tidak mahu hidup dengan suaminya itu meminta bantuan kekasihnya bagi mencari jalan penyelesaian.


“Mereka berdua berpakat mengupah tiga samseng dengan bayaran RM3,600 bagi memukul mangsa. Difahamkan, wanita yang dibantu kekasihnya itu hanya mengarahkan mangsa dicederakan atau mematahkan beberapa bahagian anggota badannya.


“Namun, dalam serangan tiga samseng upahan yang bersenjatakan parang itu, mangsa terbunuh,” katanya.


Melihat mangsa mati, ketiga-tiga lelaki itu cuba melarikan diri, tetapi dua daripada mereka ditahan orang awam sebelum menyerahkan mereka kepada polis.


“Ketika soal siasat, dua lelaki itu mengaku mereka diupah isteri mangsa dan teman lelakinya dengan bayaran RM3,600,” katanya.


Susulan pengakuan kedua-dua suspek, isteri mangsa dan teman lelakinya serta seorang lagi suspek ditahan berasingan.


Katanya, polis mengambil mangsa kurang empat jam bagi menyelesaikan kes pembunuhan itu dengan penahanan semua suspek.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi, mengesahkan penahanan berkenaan dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
sumber :harianmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan