Wanita cedera lawan peragut
Antara kecederaan yang dialami mangsa ragut.
 
 
KLANG - Seorang wanita cedera dan rugi kira-kira RM5,000 apabila dia diragut dua lelaki bermotosikal sebaik keluar kereta untuk membeli makanan di sebuah restoran di Taman Eng Ann, Taman Berkeley, di sini.

Dalam kejadian mencemaskan itu, mangsa Ivy Lai Mei Ying, 32, berkata, dia cedera di lutut dan tangan setelah terjatuh apabila cuba mempertahankan beg sandangnya daripada diragut suspek.

"Ketika kejadian saya baru keluar kereta dan ketika hendak kunci pintu, dua lelaki bermotosikal menghampiri terus meragut beg yang dipakai.

"Sambil menjerit saya cuba tarik beg yang direntap lelaki itu namun talinya terputus dan mereka terus memecut motosikal dinaiki," katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa trauma dengan kejadian yang nyaris meragut nyawanya.

Dalam pada itu, Ivy menggesa polis mengambil tindakan segera mencegah jenayah terbabit berulang di kawasan sama yang dilaporkan sebelum ini berlaku.

"Kita harap dengan pencegahan itu, kadar jenayah ragut dapat dikurangkan dan peragut segera ditangkap bagi mengelakkan mereka terus mengancam nyawa penduduk di sini, terutamanya warga emas serta wanita hamil," katanya.

Kejadian itu turut mendapat perhatian penduduk Taman Eng Ann dan mereka menggesa kawalan keselamatan diperketat memandangkan kejadian ragut melibatkan wanita dan warga emas semakin membimbangkan.

Aktivis masyarakat, Peter Tan berkata, rondaan kerap perlu dilakukan di setiap kawasan yang sering menjadi tumpuan penjenayah.

"Jenayah samun, ragut dan pecah rumah di penempatan ini semakin membimbangkan. Bukan itu sahaja, penjenayah sanggup mencederakan mangsa untuk mencapai keinginan mereka.

"Oleh itu, polis digesa memberi perhatian dan melakukan rondaan lebih kerap bagi mencegah kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong mengesahkan ada menerima laporan berkaitan kes ragut berkenaan.

Menurutnya, bermula Disember lalu, tiga anggota Unit Rondaan Bermotor ditugaskan membuat rondaan di taman berkenaan, termasuk di Taman Berkeley bagi mencegah jenayah.

"Bagaimanapun, ketika kejadian, tiga anggota berkenaan sedang melakukan rondaan di Taman Berkeley.

"Kita harap penduduk dapat memahami tugas anggota polis yang membuat rondaan di kawasan berkenaan dan kita tidak pernah mengabaikan tanggungjawab tersebut," katanya.sinarharian.