Ditipu ‘pegawai Imigresen’
Pengerusi BPA MCA Datuk Theng Book (dua, kanan) mendengar masalah yang diajukan oleh mangsa (dua dan tiga kiri).
 
 
PETALING JAYA – Kerana mahu mendapatkan kelulusan permit 6P untuk pekerja warga asing dengan cepat, seorang peniaga kerugian RM70,000 selepas ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen Putrajaya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Thong, 36, berkata, dia diperkenalkan kepada suspek melalui seorang rakannya pada Ogos 2011 dan bersetuju membuat pembayaran untuk 100 pekerja warga asing dengan kadar RM500 sekepala.

“Saya telah membayar wang secara berperingkat melalui cek dan tunai kepadanya dan sehingga kini permit yang dijanjikan masih tidak diperolehi,” katanya pada sidang media bersama Biro Pengaduan Awam (BPA) MCA Selangor, semalam.

Menurutnya, suspek berusia awal 30-an itu mula memberikan pelbagai alasan ketika dihubungi malah berjanji mahu membayar wang kerana mengaku gagal untuk memperoleh permit tersebut.

“Pertama kali saya berjumpanya adalah di lobi Jabatan Imigresen Putrajaya, dia berpakaian uniform operasi dan berlagak seperti pegawai turun dari tangga tingkat 2, bila saya periksa dengan Jabatan Imigresen Putrajaya, tidak wujud kakitangan atau pegawai terbabit di situ,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Low Chow Yee, 33, turut kerugian RM96,000 selepas suspek yang menyamar sebagai pegawai Imigresen berjaya meyakinkan untuk mempercepat proses permit 6P yang dipohon untuk kira-kira 200 pekerja asing.

“Suspek mahu bayar balik tetapi malangnya beberapa cek yang diterima adalah cek tendang selepas itu dia menghilangkan diri dan gagal dihubungi,” katanya.

Susulan daripada kejadian, dua laporan polis kemudiannya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya tahun lalu.sinarharian.