nik aziz 16mac
Nik Abdul Aziz Nik Mat
MACHANG - Soal bangsa tidak perlu dipertikaikan untuk
seseorang menjadi Perdana Menteri asalkan dia beragama Islam,
kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ini kerana perdana menteri akan mengetuai kerajaan dan memimpin umat Islam di negara ini.

"Nak bukan Melayu tidak apa, asalkan beragama Islam, mana boleh pimpin Islam kalau tidak Islam. (Contohnya) negeri demokrasi, adakah (jawatan) diberi kepada komunis, negeri komunis pula adakah dia akan beri kepada orang demokrasi? Tak ada... negeri komunis maka (pemimpin) komunis yang pegang, negeri demokrasi maka demokrasi pegang.

"Negeri Islam, maka orang Islamlah pegang, jadi bangsa apa pun tak peduli," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan di Markaz Dewan Ulama (MADU) Labok, di sini, hari ini.

Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan terus berjuang bagi memastikan bukan Melayu memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dengan alasan tiada undang-undang yang menghalang orang bukan Melayu untuk memegang jawatan tersebut. Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz pula menyifatkan kenyataan Karpal itu pendapat peribadi dan yakin ia tidak menjejas sokongan kepada Pas.

"Cuma kita melihat dalam konteks semasa, orang Melayu Muslim (adalah) majoriti di negara ini, jadi kalau Karpal sebut mengenai bangsa, kita tak kisah tapi kalau bukan Muslim nak jadi Perdana Menteri, itu kita tolaklah," katanya. – Bernama