Sabtu, 12 Mei 2012

Anak dara buta hati di sebabkan panahan cinta buta...sangggup...

KUALA LUMPUR: Bersempena Hari Ibu, Ahad ini, tiga ibu merayu agar anak perempuan masing-masing pulang ke pangkuan keluarga selepas melarikan diri dari rumah.
Bagi mereka, kepulangan anak tersayang itu adalah paling bermakna sempena hari berkenaan.

Seorang suri rumah, Che Nolia Hassan, 54, berkata anak bongsunya daripada tiga beradik tidak pulang ke rumah di Rawang, sejak Julai tahun lalu.

Beliau berkata, anaknya yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor, Noor Haffiza Ibnu Hajar, 24, disedari hilang kira-kira jam 9 pagi dipercayai lari mengikut teman lelaki dengan menaiki kereta Proton GEN 2 yang sudah menunggu berhampiran rumahnya.

“Ada seorang saksi iaitu pengawal keselamatan di kawasan perumahan melaporkan ternampak Noor Haffiza mengikut dua lelaki dalam kereta berkenaan. Sebelum kejadian, kami tidak bertengkar dan anak saya itu berkelakuan seperti biasa menyebabkan saya sekeluarga tidak mengesyaki apa-apa.

“Namun, saya terkejut apabila mendapati biliknya kosong manakala pakaiannya tiada dalam almari ketika mahu mengajaknya bersarapan sebelum diberitahu pengawal keselamatan yang ternampak anak saya bersama dua lelaki,” katanya pada sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.


Seorang lagi suri rumah, Yong Mai Hoe, 44, turut melaporkan anak perempuannya, Kong Wei Yan, 16, lari mengikut teman lelakinya yang dipercayai warga Nigeria dikenali sebagai Prince, Selasa lalu.

“Saya khuatir anak tunggal saya ditipu lelaki kulit hitam yang baru dikenalinya selama lapan bulan itu dan dipaksa melacur dalam sindiket pelacuran membabitkan gadis bawah umur,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ibu malang, Lee Eng Leng, 45, berharap anak perempuannya, Toh Poh Kiew, 20, pulang ke rumah selepas keluar rumah pada Disember tahun lalu kerana merajuk akibat tidak dapat melanjutkan pelajaran berikutan masalah kewangan dihadapi keluarga.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata, pihaknya menerima enam laporan kes sama sejak awal tahun ini membabitkan gadis berusia 20 tahun ke bawah.

“Oleh itu, kami merayu sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai gadis berkenaan boleh menghubungi kami di talian 03- 2203388,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan