Ahad, 25 September 2011

Ramainya anak luar nikah islam di Malaysia!!!

RAMAINYA anak tidak sah taraf. Statistik dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan seramai 155,744 anak luar nikah dilahirkan oleh ibu yang beragama Islam dari 2000 hingga Julai 2008.

sekadar hiasan


Jumlah itu begitu membimbangkan kerana menandakan penyakit sosial semakin membarah selain terdapat golongan remaja yang masih di alam persekolahan turut menyumbang kepada angka berkenaan.

Gambar hiasan


Bekas Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fatimah Abdullah, yang menganalisis sosial kes zina berdasarkan data daripada kajian mengenai kehamilan luar nikah mendapati, bilangan kelahiran tak sah taraf lebih tinggi di negeri lebih maju seperti Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak dan Johor dengan peratusan bagi setiap negeri melebihi 10 peratus daripada setiap kelahiran.

Menurutnya, faktor yang mungkin relevan ialah penghijrahan golongan muda dari negeri lain ke Selangor dan Kuala Lumpur menyebabkan kes di tempat berkenaan agak tinggi.


Katanya, Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (JKPS, PPUM) ditubuhkan pada 1999 mengendalikan ribuan kes pesakit termasuk individu yang dikategorikan sebagai ibu tanpa nikah.

“Satu kajian mengenai ibu tanpa nikah dilakukan berdasarkan rekod yang terdapat di jabatan berkenaan. Rekod bagi 2004 hingga 2008 digunakan untuk dianalisis bagi mendapatkan profil pesakit berkaitan.

“Data mengenai sebab kehamilan, latar belakang teman lelaki atau lelaki yang menyebabkan kehamilan, latar belakang keluarga dan sikap keluarga serta perancangan masa depan gadis berkenaan dikumpul berdasarkan temubual dilakukan ke atas penghuni Rumah Nur Adwa iaitu penempatan sementara bagi remaja hamil tanpa nikah oleh Persatuan Pekerja Sosial Perubatan,” katanya.

Mengikut rekod diuruskan JKSP PPUKM, terdapat 292 kes kehamilan tanpa nikah dari 2004 hingga 2008. Pesakit paling ramai dari Wilayah Persekutuan iaitu 122 orang, diikuti Selangor, 35 dan Sabah (26).

Banyak kes berpunca hubungan di luar batasan dengan teman lelaki selain terdapat sumber seperti cakera padat video lucah dimiliki bapa sendiri.

“Temubual lebih mendalam dilakukan terhadap 10 penghuni Rumah Nur Adwa berusia 16 hingga 27 tahun. Semua mereka orang Melayu Islam berasal dari negeri di Semenanjung dan masih bujang. Kebanyakan mereka mempunyai tahap pendidikan rendah dan menceburi bidang pekerjaan dengan pendapatan rendah. Daripada keluarga berpendapatan rendah serta mempunyai adik beradik ramai.

“Dalam konteks ini, remaja nampaknya tidak faham dengan hukum hakam daripada segi agama dan adab pergaulan dengan teman lelaki malah ada sanggup bersekedudukan. Pengetahuan berkaitan seksualiti juga tidak ada. Ini kerana kebanyakan mereka tidak prihatin dengan terhentinya haid yang menunjukkan petanda kehamilan serta perubahan fizikal dan kesihatan mereka.

“Ramai yang menyedari kehamilan selepas kandungan berusia lebih empat bulan. Malah ada cuba membuat penafian iaitu mereka tidak mungkin hamil. Beberapa tindakan cuba dilakukan untuk menggugurkan kandungan tidak berjaya seperti makan nanas muda dan mengambil jamu.

“Apabila ditanya mengenai anak dilahirkan, mereka memberi jawapan berbeza iaitu menyerahkan bayi kepada keluarga angkat dan ada yang ingin menjaga sendiri. Umur bukan penentu penghuni untuk menjaga sendiri bayi bakal dilahirkan, begitu juga dengan pekerjaan dan pendapatan. Sokongan keluarga penting, begitu juga dengan sikap teman lelaki sama ada mahu berkahwin atau tidak selepas anak dilahirkan,” katanya.

sumber : Harian metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan