Selasa, 6 Mac 2012

Rogol gadis: Bapa dua anak dijel lima tahun

MELAKA 5 Mac. - Seorang bapa kepada dua anak dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang gadis bawah umur sebanyak tiga kali pada Februari dua tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad Zarul Sapuan Abd. Razak, 21, dituduh merogol gadis berusia 15 tahun itu di Taman Rekreasi, Dataran Jasin, di sini pada pukul 4 pagi pertengahan Februari 2010.
Mohammad Zarul Sapuan turut didakwa mengulangi perbuatan tersebut terhadap mangsa di tempat sama pada pukul 2 pagi dan 2.30 pagi, hujung Februari 2010.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Semasa mengemukakan rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Mohd. Hasryzal Badasary yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh mengalami kecederaan di kepala sehingga tempurung kepalanya pecah akibat dipukul orang ramai ketika ditangkap.
Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Tertuduh sebelum ini dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga tuduhan tersebut tetapi menukar pengakuan kepada bersalah selepas lapan saksi pendakwaan memberi keterangan.
Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan yang diperintahkan berjalan secara serentak.Utusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan