Ahad, 4 Disember 2011

Si Tanggang Moden

KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang anak mengugut mahu memukul dan membakar rumah orang tuanya jika bapanya tidak memenuhi permintaannya yang meminta RM2,000 membawa padah apabila dia dikenakan hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Mohd Anuar Wan Ahmad, 25, dari Kampung Sungai Rengas yang mengaku salah atas tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya, Wan Ahmad Wan Muda, 61.

Mengikut pertuduhan, Wan Mohd Anuar yang tidak bekerja didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya dengan mengugut akan membakar rumah dan mencederakannya sekiranya dia gagal menunaikan permintaannya di sebuah rumah di Kampung Sungai Rengas kira-kira jam 6.30 pagi, 30 November lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Wan Mohd Anuar tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Wan Mohd Anuar meminta wang RM50 daripada bapanya yang juga seorang pesara untuk membeli dadah sehari sebelum kejadian berkenaan. Bagaimanapun tindakan tertuduh meminta wang menimbulkan kemarahan bapanya sebelum berlaku pertengkaran antara dua beranak itu.

Dalam pertengkaran itu, bapanya memukul tertuduh menyebabkannya dia dihantar kakaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.Mymetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan