Khamis, 22 Disember 2011

Jangkitan HIV/AIDS meningkat melalui aktiviti seks

KOTA BAHRU 22 Dis. - Cara jangkitan berpunca daripada perkongsian jarum suntikan kepada melalui aktiviti seks tidak selamat menyebabkan bilangan mereka yang menghidap HIV/AIDS di Malaysia meningkat, kata Presiden Majlis AIDS Malaysia, Tan Sri Zaman Khan.
Beliau berkata, perubahan itu memberi kesan besar dalam usaha kerajaan membendung masalah jangkitan HIV dan AIDS kerana meletakkan wanita sebagai kumpulan sasar yang terdedah kepada penyakit tersebut.
"Sebagai bukti, bilangan wanita yang dijangkiti HIV semenjak 10 tahun lalu berganda tiga kali dengan nisbah 1.2 peratus pada 1990 kepada 9.4 peratus di tahun 2000,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Wanita Menangani HIV dan AIDS di sini, hari ini.
Zaman berkata, sehingga Disember 2009 seramai 9,891 orang didapati menghidap HIV dan AIDS di Malaysia terutama melalui hubungan seksual seperti heteroseksual, homoseksual dan transeksual yang mencatat 48.7 peratus melepasi jangkitan akibat penggunaan dadah melalui suntikan iaitu sebanyak 47.4 peratus. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan