Khamis, 22 Disember 2011

Hayat perempuan Cina mengatasi India, bumiputera

PUTRAJAYA 22 Dis. - Jangka hayat perempuan Cina mengatasi kaum India dan bumiputera pada tahun lepas berdasarkan laporan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia yang diumumkan di sini hari ini.
Menurut Menteri di Jabatan Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, jangka hayat perempuan Cina untuk tahun 2010 adalah 79.8 tahun berbanding perempuan India (76.2), bumiputera (75.3) manakala lelaki Cina memiliki jangka hayat 74.4 tahun, Bumiputera (70.5) dan paling rendah lelaki India (68).
Bercakap kepada pemberita pada pengumuman Laporan Taburan Penduduk Mengikut Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan Mukim 2010 dan Produk Statistik 2011/2012, di sini beliau berkata, secara keseluruhan perempuan di negara ini memiliki jangka hayat lebih tinggi.
Menurut beliau, jangka hayat perempuan adalah 77 tahun berbanding lelaki 71.9 tahun pada 2010, dan ini adalah peningkatan dari tahun 2000 yang menunjukkan jangka hayat perempuan 74.7 tahun dan lelaki 70 tahun.
Nor Mohamed berkata, kadar kesuburan wanita di negara ini bagaimanapun menurun kepada 2.2 anak untuk seorang wanita berbanding 3.0 pada 2000 dan kaum Bumiputera mempunyai kadar paling tinggi iaitu 2.6, berbanding 1.7 bagi kaum India dan 1.5 bagi kaum Cina. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan